Selasa, 27 November 2018 | 11:00pm
TUN Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram selepas Majlis Anugerah Akademik Negara ke-12 di Putrajaya. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
TUN Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram selepas Majlis Anugerah Akademik Negara ke-12 di Putrajaya. - Foto MOHD FADLI HAMZAH

Pendidikan negara masih boleh dibanggakan - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan masih berbangga dengan pencapaian ditunjukkan institusi pendidikan tinggi dan ahli akademik tempatan walaupun sering menjadi sasaran kritikan,

Perdana Menteri berkata, pencapaian itu menyumbang kepada strategi untuk terus meletakkan martabat pendidikan negara di peringkat antarabangsa.

“Ahli akademik adalah golongan yang paling penting dalam melahirkan graduan yang mampu menghadapi cabaran masa depan dan bukan hanya menguasai ilmu sahaja, sebaliknya turut memiliki nilai dan kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2018 di sini, malam ini.

Perdana Menteri berkata, penerima anugerah AAN 2018 bukan sahaja mencipta nama dalam negara, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana sumbangan besar dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Dr Mahathir berkata, walaupun masih terdapat banyak ruang untuk kemajuan, pencapaian yang ditunjukkan oleh warga institusi pendidikan tinggi di Malaysia di dalam memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara adalah menggalakkan.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, 66, dinobatkan Tokoh Akademik Negara ke-12.

Anugerah tertinggi dalam bidang pendidikan dan pembangunan negara itu disampaikan Dr Mahathir.

Pengiktirafan itu membolehkan Prof Jomo yang juga bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta trofi dan sijil.

Pemilihan Prof Jomo dibuat berdasarkan jasanya yang terbabit secara menyeluruh dan sentiasa menyumbang kepada penemuan ilmu, penjanaan kekayaan negara, memenuhi aspirasi universiti sebagai jentera pembangunan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.

Prof Jomo bukan nama asing dalam bidang pendidikan negara, malah pernah memegang pelbagai jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB Bagi Pembangunan Ekonomi (PBB-DESA) iaitu pembuat dasar, mengeluarkan analisis ekonomi dan sosial berkualiti serta membantu negara-negara untuk membangun.

Jawatan terakhirnya di PBB adalah sebagai Penolong Ketua Pengarah dan Penyelaras Pembangunan Ekonomi dan Sosial di Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB bermula 2012 hingga 2015.

Selain Prof Jomo, enam ahli akademik lain turut menerima anugerah dalam kategori masing-masing dengan setiap mereka membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor dari Universiti Malaya (UM) menerima Anugerah Penerbitan Buku; Mohd Faizul Noorizan dari Universiti Teknologi MARA menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Kraf) dan Prof Madya Dr Mawar Safei (Universiti Kebangsaan Malaysia) menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Penulisan Kreatif).

Selain itu, Prof Madya Dr Wan Zuhanis Saad dari Universiti Putra Malaysia menerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Tulen); Prof Madya Dr Fauziah Abdul Rahim (Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan) serta Prof Madya Dr Juan Joon Ching (Universiti Malaya) pula dinobatkan penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Berita Harian X