Jumaat, 23 November 2018 | 3:18pm
AHMAD Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memeriksa perbarisan pada Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan beliau di Padang Kawad Kapal Diraja Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - ihsan TLDM
AHMAD Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memeriksa perbarisan pada Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan beliau di Padang Kawad Kapal Diraja Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - ihsan TLDM

Panglima Tentera Laut dirai penuh adat istiadat

LUMUT: Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, diraikan dengan penuh istiadat ketenteraan pada Majlis Perbarisan Penghargaan PTL sempena persaraannya di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, hari ini.

Beliau tiba bersama isteri, Puan Sri Noor Azrina Abdullah pada jam 8 pagi, diberi tabik hormat dengan diiringi terbang lintas hormat oleh empat helikopter TLDM iaitu masing-masing dua pesawat Fennec dan Superlynx yang membawa bendera TLDM dan Jalur Gemilang.

Ahmad Kamarulzaman seterusnya memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat diikuti perbarisan berjalan membabitkan 25 pegawai dan 475 anggota merangkumi lapan kontinjen diketuai Komander Lukman Hamzah serta enam panji-panji TLDM.

Ia membabitkan panji-panji TLDM iaitu KD Pelandok, KD Malaya, KD Duyong, KD Rajawali, KD Panglima Hitam dan Skuadron Ke-23.

Ketika menyampaikan amanatnya dan pada sidang media sebelum melepaskan tampuk pemerintahan TLDM, Ahmad Kamarulzaman meminta warga angkatan laut itu terus mengekalkan imej dan nama baik pasukan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta memberi sokongan padu kepada pucuk kepimpinan TLDM yang baharu bagi memacu TLDM ke tahap yang lebih cemerlang.

Menurutnya, beliau turut berharap Pelan Transformasi ‘15 to 5’ Armada TLDM terus disokong dan tercapai sepenuhnya kerana ia dapat memberikan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada TLDM, tetapi menyeluruh di peringkat nasional.

“Pelan ini akan memberikan banyak pulangan bukan sahaja manfaat dalam jangka masa panjang dari segi aspek Armada tetapi peningkatan secara berperingkat membabitkan kapal TLDM khususnya berada di laut bagi menjamin keselamatan maritim negara, selain potensi industri pertahanan khususnya pembinaan kapal tentera laut yang dalam jangka panjang dapat membuka peluang pekerjaan.

“Selain itu, warga TLDM juga diharap dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, tidak mudah berputus asa dan memberikan yang terbaik serta melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan ikhlas serta berfikiran positif.

“Semua warga juga diharap dapat menjaga nama baik dan maruah perkhidmatan kita iaitu TLDM dan apa juga rintangan yang dilalui setiap warga perlu bersyukur dan berdoa kerana ini adalah ‘senjata’ yang kuat,” katanya pada sidang medianya di sini.

Ahmad Kamarulzaman turut menyatakan penghargaannya kepada pihak media dalam menyampaikan maklumat yang tepat mengenai TLDM kepada orang ramai sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat kepada mereka.

Dalam pada itu, dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra Penghargaan PTL di Auditorium M Sidek Shahbudin KD Pelandok, Ahmad Kamarulzaman berkata, bantuan dan sokongan warga TLDM termasuk orang awam memainkan peranan penting kepadanya dalam melaksanakan amanah bagi menerajui pasukan berkenaan selama ini.

“Saya yakin pucuk kepimpinan baru kelak akan membawa pelan perancangan ke landasan yang betul dan terus membawa TLDM pada tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Ahmad Kamarulzaman yang berada dalam TLDM sejak 42 tahun lalu adalah PTL ke-16 yang dilantik ke jawatan itu pada 18 November 2015.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan dalam TLDM dan ATM termasuk Ketua Staf Markas ATM, Panglima Angkatan Bersama, Panglima Armada, Panglima Wilayah Laut 2 dan Asisten Ketua Staf (Rancang dan Operasi) di Markas Tentera Laut.

Beliau akan bercuti selama empat bulan sebelum bersara wajib pada 31 Mac 2019 dan tempatnya akan diambil alih oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Berita Harian X