Khamis, 22 November 2018 | 7:14pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
TIMBALAN Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kerajaan perkasa program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial semua peringkat

KUALA LUMPUR: Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial akan dimulakan seawal prasekolah dalam usaha menangani isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan perkahwinan bawah umur.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ia adalah antara usaha yang akan dilakukan untuk memperkasakan program pendidikan itu.

Beliau berkata, program pendidikan itu perlu diperkasakan kerana ia penting memandangkan pencegahan bermula dengan kesedaran serta pendidikan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berkata modul program berkenaan yang sudah wujud sejak 1989 perlu diperincikan dan diperkukuhkan lagi.

“Hari ini saya pertama kali mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara sejak perubahan kerajaan dan dihadiri oleh semua pihak berkepentingan.

“Antara fokus utama mesyuarat kali ini adalah berhubung pelaksanaan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial.

“Menerusi mesyuarat ini, kita ingin mendapatkan penilaian serta keberkesanannya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas mesyuarat itu hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Dulu sudah ada (program) ini tetapi ia tidak memberikan maksud yang tepat. Kita mahu mengajar anak-anak mengenai program ini (bermula) dari prasekolah.

“Kita mahu memberikan mereka pengetahuan secara terperinci apakah yang berlaku jika ada reproduktif, jika ada penyakit atau jangkitan yang boleh berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat Majlis Sosial Negara selepas ini akan juga membincangkan isu gangsterisme, buli, penyalahgunaan dadah dan masalah sosial yang berlaku di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita juga akan membincangkan isu kanak-kanak tercicir daripada akses pendidikan dan Transformasi Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta isu remaja hamil luar nikah.

“Justeru, saya mengalu-alukan pembabitan daripada Ahli Parlimen, pihak akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dalam menyumbangkan cadangan penyelesaian kepada masalah sosial negara,” katanya.

Berita Harian X