Khamis, 22 November 2018 | 6:23pm
PROF Dr Russayani Ismail - Foto AMRAN HAMID
PROF Dr Russayani Ismail - Foto AMRAN HAMID

Anggap PTPTN tanggungjawab kerajaan punca peminjam tak mahu bayar

SINTOK: Sikap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) yang mengggap bahawa pembiayaan pendidikan tinggi adalah tanggungjawab kerajaan menjadi antara punca ramai dalam kalangan mereka tidak mahu membayar hutang berkenaan.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Russayani Ismail, berkata itu antara dapatan yang diperoleh daripada penelitiannya termasuk membabitkan peminjam yang sudah mempunyai pekerjaan.

Sehubungan itu beliau berkata, PTPTN seharusnya mempunyai satu mekanisme atau sistem yang utuh untuk mendapat bayaran semula pinjaman yang diberikan kepada kira-kira 2.9 juta peminjam sejak 21 tahun lalu.

“Saya ada membuat sedikit penelitian di mana peminjam yang tidak mahu membayar ini mereka berasakan itu tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan pendidikan.

“Sedangkan PTPTN ini sudah begitu baik dengan memberikan kebenaran kepada peminjam meskipun hanya mampu membayar serendah RM50 sebulan justeru perbadanan itu perlu tegas untuk melaksanakan sistem bagi kutipan bayaran, ” katanya semasa menjayakan Wacana Pendidikan Tinggi 2018 yang mengupas mengenai isu pembiayaan PTPTN.

Wacana itu dianjurkan oleh Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT) dengan kerjasama UUM yang turut disertai

Timbalan Ketua Eksekutif, Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Pengarah Pengasas Bait Al-Amanah, Dr Abdul Razak Ahmad, dan Ketua Sumber Manusia Bank Islam Malaysia Berhad, Razman Ismail.

Pada masa sama, Russayani yang juga ahli PenDaPaT, berkata kesinambungan antara PTPTN dengan agensi lain adalah penting dalam aspek pengurusan data bagi memudahkan kutipan bayaran balik dibuat secara sistematik.

“Jika tiada kesinambungan dari agensi kutipan untuk mendapatkan bayaran balik jadi sukar...kita perlu lihat amalan baik dialkukan di negara luar contohnya United Kingdom yang melakukan mekanisme konsep pinjaman kontinjen pendapatan (ICL).

“Mereka membuat kutipan secara sistematik di mana mereka mempunyai seolah-olah identiti untuk berurusan dengan mana-mana agensi seperti kita boleh buat potongan majikan untuk PTPTN, ” katanya.

Beliau berkata, peminjam harus ingat bahawa PTPTN bukannya sebuah model perniagaan tetapi adalah mekanisme konvensional untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian dengan bantuan pinjaman kewangan.

“PTPTN meminjam daripada bank komersial pada kadar faedah tiga hingga lima peratus tetapi pinjaman yang diberikan kepada pelajar dikenakan faedah hanya satu peratus, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengasas Bait Al-Amanah, Dr Abdul Razak Ahmad, berkata pihaknya percaya hanya dengan kaedah peruntukkan undang-undang mampu ‘memaksa’ peminjam PTPTN ini membayar pinjaman berdasarkan kontrak perjanjian yang dibuat antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya PTPTN dijadikan pusat sehenti atau satu-satunya institusi yang menguruskan semua pinjaman pengajian di negara ini.

Selain itu, katanya PTPTN tidak seharusnya dimiliki oleh kerajaan sebaliknya dihakkan sebagai sebuah syarikat milik negara kerana keadaan sekarang berupaya mengheret perbadanan itu ke dalam isu politik.

“Kita harus menggunakan undang-undang untuk mengutip bayaran semula PTPTN kerana kita tak boleh pujuk peminjam...mereka akan menggunakan 1,001 alasan...apabila kamu menandatangani kontrak dengan kerajaan, kami harus menghormatinya, ” katanya.

Berita Harian X