Rabu, 21 November 2018 | 6:58pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) Siri 5 2018 di Bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pemisahan fungsi Pendakwa Raya, Peguam Negara ditangguh

PUTRAJAYA: Pelaksanaan pemisahan antara fungsi Pendakwa Raya dan Peguam Negara ditangguhkan kerana cadangan itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, dalam pada itu, kajian terperinci sedang dibuat terhadap cadangan berkenaan.

"Waktu ini, kita belum mempunyai jumlah yang cukup iaitu dua pertiga dalam Dewan (Rakyat) untuk menentukan pindaan ini dapat diluluskan.

"Disebabkan itu, perkara ini ditangguhkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) Siri 5 2018 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, dasar pembabitan penjawat awam dalam politik akan dikaji semula dan ditambah baik.

Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini, ramai pegawai kerajaan terbabit dalam politik termasuk berkempen dan memakai baju parti politik.

"Ini menjejaskan ketelusan pentadbiran negara kerana pegawai ini sudah tentu terikat dengan parti dan mereka akan mengambil tindakan yang berat sebelah berkenaan apa saja yang diputuskan oleh mereka.

"Sudah tentu pegawai yang dilantik menteri berkenaan terbabit dalam politik kerana menolong menteri mereka tapi pegawai lain juga ada yang dibenarkan sejak dulu lagi, seperti pegawai Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat).

"Oleh kerana belum dapat diperhalusi dan ditentukan, kita tidak buat pengisytiharan hari ini dan dari semasa ke semasa, kita akan kaji semula pembabitan pegawai kerajaan dalam politik," katanya.

Berita Harian X