Sabtu, 17 November 2018 | 8:15am
Rokok elektronik (vape) dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Rokok elektronik (vape) dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Vape, shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok

PUTRAJAYA: Rokok elektronik (vape) dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau, bagaimanapun berkata kementerian masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan membabitkan vape dan shisha dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, peraturan itu membabitkan produk berkaitan tembakau, tetapi untuk vape dan shisha kita akan ambil pendekatan mengikut peraturan dan undang-undang tetapi dalam kategori perundangan yang lain.

“Kita sudah ambil perhatian (mengenai vape dan shisha) cuma ia belum diluncurkan lagi (diputuskan), tetapi dalam waktu agak munasabah akan kita laksanakan,” katanya pada majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon 2018, di sini malam tadi.

Kempen Blue Ribbon diadakan sejak 2013 bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok melalui usaha advokasi ke arah mewujudkan 100 peratus kawasan bebas asap rokok.

Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok akan dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 dan pengusaha makanan yang tidak mematuhi larangan ini boleh didenda RM2,500.

Susulan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan turut melarang penggunaan vape dan shisha di restoran terbuka seperti larangan merokok.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata kedua-dua bahan itu juga mempunyai nikotin yang secara tidak langsung turut membahayakan perokok pasif sama seperti rokok. – BERNAMA

Berita Harian X