Khamis, 15 November 2018 | 5:01pm
AHLI perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.
AHLI perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low bayar AS$1.1 juta tingkat reputasi

KUALA LUMPUR : Kerajaan Amerika Syarikat mendedahkan pasukan undang-undang ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, membelanjakan AS$1.1 juta (RM4.6 juta) dalam usaha meningkatkan reputasinya sejak tujuh bulan lalu.

Portal New York Times (NYT) melaporkan khidmat yang ditawarkan kepada Jho Low, antaranya termasuk tugas perhubungan awam, mengadakan carian internet daripada laman sesawang membabitkan laporan berita antarabangsa dan tuntutan undang-undang kepada Jho Low.

“Kempen untuk Jho Low, yang dilaksanakan oleh dua firma undang-undang terkenal, dijelaskan dalam satu tuntutan bulan lalu, kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) di bawah Akta Pendaftaran Agensi Asing (FARA).

“Tuntutan undang-undang bagi pihak pelanggan asing dikecualikan daripada syarat akta, tetapi peningkatan pengawasan hasil siasatan campur tangan Russia pada pemilihan Presiden pada 2016, membantu pasukan yang mewakili Jho Low, mendedahkan kerja mereka kepada FARA.

“Pemilik firma perhubungan awam yang diupah pasukan undang-undang Jho Low, James Haggerty, berkata dalam satu kenyataan, bahawa beliau percaya semua tugasnya mematuhi pengecualian litigasi FARA.

“Tetapi Haggerty yang juga peguam, menulis bahawa beliau adalah peguam berdaftar, (dan) diberikan hak untuk mempersoalkan kesangsian dalam undang-undang.

“Haggerty dan pasukannya telah meningkatkan usaha untuk mengetepikan tuduhan menjatuhkan imej Jho Low, (dan) telah menjalankan siasatan kehilangan lebih AS$2.7 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Laporan itu turut menyatakan yang Kerajaan Amerika Syarikat turut memberikan kuasa mengembangkan ligitasi komunikasi dalam industri, yang melindungi golongan kaya dan syarikat korporat, yang berminat terhadap kes tuntutan antarabangsa.

NYT melaporkan dua firma undang-undang yang terbabit mempertahankan Jho Low, iaitu Kobre & Kim dan Schillings International, membuat pembayaran kepada tiga firma perhubungan awam dan firma pencarian digital seperti yang dinyatakan dalam tuntutan FARA.

Dilaporkan, peguam tidak mendedahkan maklumat spesifik sumber mereka, yang mendakwa wang itu bukan daripada Jho Low.

“Kobre & Kim, dalam tuntutannya, menyatakan sudah membelanjakan lebih AS$818,000 kepada empat firma untuk bekerja bagi pihak Jho Low.

“Dianggarkan kira-kira AS$ 544,000 (RM2.28 bilion) dibayar kepada firma perhubungan awam Haggerty, PRCG Haggerty.

“Firma undang-undang itu turut membayar dua firma perhubungan awam lain, iaitu PHA Group yang beroperasi di London, dan Marathon Strategies di New York, diasaskan pengendali kempen Demokrat, yang mengendalikan kempen pasukan komunikasi, Hilary Clinton, ketika kempen pemilihan Presiden pada 2008.

“Tuntutan itu juga mendedahkan bahawa sebuah syarikat carian dan analisis digital yang dikenali sebagai Five Blocks, yang berpangkalan di New York, setakat ini telah dibayar sebanyak AS$ 210,000 untuk menyediakan ‘pengurusan reputasi digital’, untuk Jho Low.

“Five Blocks menggambarkan pihaknya sebagai berkhidmat kepada “individu berprofil tinggi yang ingin membina, mempromosikan dan mempertahankan reputasi mereka.

“Schillings, dalam tuntutannya, berkata telah menerima AS$ 349,000 sebagai sebahagian tugas melaksanakan perhubungan awam untuk Jho Low,” katanya.

Berita Harian X