Khamis, 15 November 2018 | 4:15pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

'Tak 'cool' kahwin ketika bawah umur'

KUALA LUMPUR: Usaha menangani perkahwinan bawah umur berdepan pelbagai cabaran, khususnya membabitkan penduduk di kawasan pedalaman, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri yang memandang serius isu itu berkata, kawasan pedalaman tidak memperuntukkan had usia minimum untuk berkahwin, sekali gus mengundang risiko berlakunya kegiatan pengantunan seksual dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Katanya, cabaran sama dialami di Sabah yang masih berpegang utuh terhadap undang-undang perkahwinan adat menerusi bidang kuasa mahkamah berbeza.

“Isu ini sukar ditangani dalam kalangan Orang Asli kerana tok batin mempunyai kuasa penuh mengenai perihal perkahwinan.

“Memang betul, tidak ‘cool’ (hebat) untuk kahwin muda dan terlanjur,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Nancy Shukri (PBB-Batang Sadong) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy yang bangkit menyifatkan perkahwinan di usia muda sebagai tidak ‘cool’, meminta perincian berhubung kesediaan kerajaan melaksanakan kerjasama membabitkan pelbagai kementerian dalam menangani isu terbabit.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, stigma dalam kalangan ibu bapa masa kini untuk menggesa anak mereka segera mendirikan rumah tangga juga perlu ditangani.

“Banyak perkara perlu diteliti seperti pendidikan seksual dan penekanan mengenai peri penting hubungan perkahwinan kerana ia bukan untuk suka-suka.

“Ada tanggungjawab, amanah dan syarat lain yang perlu dipenuhi seperti baligh serta cukup akal fikiran supaya selari hasrat melangkah ke alam perkahwinan.

“Langkah ini perlu kerana isu pornografi, khususnya membabitkan kanak-kanak berleluasa di negara kini sehingga menyaksikan kegiatan pengantunan seksual menerusi tindakan eksploitasi,” katanya.

Menjawab soalan asal Khairy Jamaluddin (BN UMNO-Rembau) berhubung usaha penambahbaikan bagi mengetatkan kebenaran kahwin bawah umur, Dr Wan Azizah berkata, inisiatif meningkatkan had usia mendirikan rumah tangga kepada 18 tahun menyaksikan perkembangan positif.

Katanya, langkah Selangor meningkatkan had umur kepada 18 tahun melalui pindaan enakmen kini dituruti kerajaan Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Sabah yang menyatakan hasrat berbuat demikian.

“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan bawah umur sebagai panduan melalui arahan amalan kepada Mahkamah Syariah di seluruh negara, berkuat kuasa 23 Julai lalu.

“SOP ini menggariskan mana-mana pertimbangan permohonan perkahwinan bawah umur perlu mengemukakan beberapa dokumen, antaranya laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, laporan kesihatan dan polis.

“Maklumat latar belakang pemohon dan bakal pasangan, pendapatan, status sosial, kemampuan dan pendidikan juga antara elemen yang perlu dinyatakan dalam laporan sosial.

“Ini bagi membolehkan hakim memberi keputusan yang mampu memelihara kanak-kanak daripada terpalit isu daripada perkahwinan bawah umur,” katanya.

Bagi perkahwinan orang bukan Islam, Timbalan Perdana Menteri berkata, memorandum mengenai cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tahun depan.

Selain itu, katanya, kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) dan Akta 164 selewat-lewatnya pada penggal kedua sidang Dewan Rakyat, tahun depan.

Berita Harian X