Khamis, 15 November 2018 | 1:48pm
KETUA Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto Hairul Anuar Rahim

Undang-undang anti sabotaj ekonomi negara dibawa ke Parlimen

JOHOR BAHRU: Undang-undang anti sabotaj ekonomi negara khusus untuk memerangi budaya ‘Ali Baba’ dalam perolehan kerajaan akan dibawa ke sidang Parlimen April tahun depan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata selepas kajian dan penelitian undang-undang berkenaan selesai, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyediakan draf.

Katanya, draf berkenaan akan dibawa ke Pejabat Peguam Negara sebelum dibawa dalam Mesyuarat Kabinet dan akhirnya dibentangkan ke sidang Parlimen yang dijangka pada persidangan berikutnya iaitu April tahun hadapan.

“GIACC sedang meneliti pindaan dalam Akta SPRM 2009 iaitu Seksyen 20 di mana ada kesalahan bagi mana-mana pemilik tender menarik balik tender (secara rasuah mendapatkan penarikan balik tender).

“Tetapi tidak ada kesalahan (dalam akta) bagi mereka yang menjual tender. Ia bukan sahaja (tertakluk) kepada Bumiputera sahaja, tetapi semua.

“Kita sedang meneliti perkara ini bersama SPRM untuk melihat bagaimana perundangan boleh dibuat sama ada dari segi kesalahan jenayah atau elemen sivil, bagaimana boleh diambil tindakan kepada mereka yang menjual tender,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; barisan EXCO serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Abu Kassim berkata, antara perkara sedang diteliti dan dikaji termasuk definisi dan maksud penjualan (tender), selain konsep yang akan diguna pakai dalam pelaksanaan undang-undang berkenaan.

“Ia membabitkan beberapa tindakan dan apabila siap nanti SPRM diminta menyediakan draf untuk dibawa ke Jabatan Peguam Negara sebelum dibentang ke Kabinet dan seterusnya ke Parlimen,” katanya.

Berita Harian X