Khamis, 15 November 2018 | 12:27pm
MOHAMED Azmin Ali. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Syor bangunkan Indeks Integriti dan Tadbir Urus Korporat Nasional

JOHOR BAHRU: Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) disarankan membangunkan Indeks Integriti dan Tadbir Urus Korporat Nasional dalam usaha menjadikan Malaysia Baharu berada pada landasan tepat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata indeks berkenaan dapat diguna pakai organisasi berteraskan ekonomi dan perniagaan.

“Saya menyarankan supaya dibangunkan satu Indeks Integriti dan Tadbir Urus Korporat Nasional untuk diguna pakai organisasi berteraskan ekonomi dan perniagaan.

“Ia berfungsi sebagai rujukan, penanda aras dan barometer bagi mencerap tahap dan amalan integriti serta tadbir urus organisasi terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; barisan EXCO serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Azmin berkata, impian Malaysia Baharu ialah sebuah negara yang dibina di atas landasan integriti dan tadbir urus yang tinggi.

“Kemajuan sesebuah negara bukan sahaja diukur dari prestasi ekonomi semata-mata tetapi keupayaan membina sebuah masyarakat yang berintegriti, adil dan berpegang kepada jati diri serta nilai murni,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata pihaknya akan melihat saranan berkenaan dan akan berbincang dengan pihak kerajaan dalam merangka serta mengemukakan dasar serta strategi berkaitan.

“Kita (GIACC) adalah perancang rangka strategi dan dasar kepada kerajaan yang juga dari segi pengukuran akan memulakan beberapa pengukuran sedia ada atau yang lain demi keberkesanan pentadbiran kerajaan,” katanya.

Berita Harian X