Isnin, 12 November 2018 | 7:36pm
KETUA Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani). - NSTP/Asyraf Hamzah
KETUA Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani). - NSTP/Asyraf Hamzah

Isu subsidi pertanian satukan penyokong kerajaan, pembangkang

KUALA LUMPUR: Pemotongan subsidi bagi sektor pertanian menerusi Belanjawan 2019 mewujudkan kesepakatan dalam kalangan penyokong kerajaan dan pembangkang yang meminta ia dikaji semula.

Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani) menyuarakan rasa terkilan apabila subsidi baja pertanian dipotong sehingga 50 peratus tahun depan.

Berdasarkan pengalaman sebagai anak petani, katanya, pemotongan subsidi baja pertanian seperti dinyatakan akan memberi tekanan dan bebanan tinggi kepada golongan sasar.

“Saya agak terkilan melihat subsidi baja padi untuk tahun depan dipotong hingga 50 peratus.

“Petani amat bergantung kepada subsidi kerajaan. Kalau dipotong 50 peratus, saya yakin produktiviti kita untuk tahun depan akan terhakis 50 peratus.

“Saya minta kerajaan melihat balik (pengurangan subsidi) kerana kalau dipotong, bagaimana kita nak mencapai 90 peratus tahap sara diri dan ini amat membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menerusi Belanjawan 2019, sektor pertanian menerima peruntukan RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan; RM18 juta bagi automasi industri agromakanan dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani.

Bagaimanapun, insentif khas untuk pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah tidak dinyatakan, termasuk insentif seperti baja dan input pengeluaran golongan terbabit.

Johari turut mempersoal keputusan kerajaan tidak lagi memberi subsidi baja padi huma khusus untuk petani di Sabah dan Sarawak.

“Saya terkejut mendapati tiada langsung subsidi padi bukit diberi dan ini boleh menjejaskan kehidupan mereka,” katanya.

Beliau turut menolak hasrat kerajaan melaksanakan tender terbuka bagi membekalkan baja menerusi skim subsidi baja padi yang mana tender terbabit sebelum ini diberi terus kepada kilang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Gurun, Kedah.

Katanya, kilang NAFAS diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan 80 peratus saham dimilliki 900,000 petani dan peladang yang selama ini menjadi pembekal baja subsidi kepada golongan sasar.

Tambah beliau, kerajaan mengeluarkan belanja besar membangunkan kilang NAFAS dan mendapat pengiktirafan ISO, tiba-tiba kononnya ada salah laku ahli lembaga pengarah ketika kerajaan terdahulu, maka kerajaan buat keputusan untuk buka semua tender bagi bekal baja termasuk NAFAS menjadi pembida.

“Ini tidak adil. Kalau nak ambil tindakan, ambil tindakan terhadap ahli lembaga pengarah tapi jangan hukum NAFAS. Ia nadi, tulang belakang buat baja. Ia ada sehingga 900,000 ahli dalam kalangan petani.

“Mungkin salah dulu kerana letak cap dacing (lambang Barisan Nasional) pada baja NAFAS tapi takkanlah kerana itu kita nak hukum NAFAS... saya rasa tak kena.

“Ada yang nak buat tender terbuka kerana ada ‘skru longgar’. Sepatutnya kita betulkan skru itu, jangan ‘bakar rumah’. Jika dibuka (tender) atas alasan nak cari harga kompetetif, kementerian harus berbincang dengan NAFAS untuk dapat harga dipersetujui,” katanya.

Tan Sri Noh Omar (BN UMNO-Tanjong Karang) yang diberi laluan mencelah, menyokong pendirian Johari.

“Saya lega apabila Sungai Petani cadang jangan buat tender terbuka. Walaupun berbeza parti, yang ini saya setuju. Memang saya nak bangkitkan isu ini, tapi bila sudah disebut, saya sokong penuh.

Datuk Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) yang turut mencelah, menyokong cadangan Johari supaya bekalan baja pertanian diberi tender secara terus kepada NAFAS.

“Sebanyak 80 peratus saham NAFAS milik persatuan peladang manakala 20 peratus milik Petronas.

“NAFAS bukan buat baja padi saja, tetapi juga baja getah dan sawit. Saya setuju cadangan Sungai Petani,” katanya.

Berita Harian X