Ahad, 11 November 2018 | 8:02pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen German-Malaysian Institute (GMI) di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Hanya satu peratus isi kuota bukan Bumiputera MRSM

PUTRAJAYA: Hanya satu peratus pelajar bukan Bumiputera mengisi kuota 10 peratus yang diperuntukkan kepada golongan itu bagi melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah berkata, usaha kini sedang dilakukan bagi menarik minat pelajar bukan Bumiputera untuk memenuhi kuota berkenaan.

“Kuota 10 peratus yang diperuntukkan kepada pelajar bukan Bumiputera itu sudah dilaksanakan sejak 2002.

“Peruntukan 10 peratus ini adalah dasar yang sudah dimulakan sejak kerajaan dahulu. Apabila hadir dalam sesi taklimat, saya diberitahu hanya kira-kira satu peratus daripada 10 peratus kuota yang diperuntukkan diisi pelajar terbabit.

“MRSM satu institusi yang berkualiti jadi, perlu beri kesedaran kepada masyarakat bukan Bumiputera berhubung peluang emas ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen German-Malaysian Institute (GMI) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pada tahun ini, 7,000 kekosongan tempat bakal ditawarkan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di 54 MRSM seluruh negara dengan 700 daripadanya dikhaskan kepada pelajar bukan Bumiputera.

“Kita berharap permohonan daripada bukan Bumiputera akan meningkat berbanding tahun sebelumnya kerana kita tidak mahu peluang baik ini dibazirkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sivarasa berkata, antara usaha yang dilakukan bagi menarik minat pelajar bukan Bumiputera misalnya melalui hebahan di surat khabar bahasa Tamil dan wawancara bahasa Cina di televisyen selain pemakluman kepada guru serta ibu bapa.

Semasa sesi temu bual bersama sebuah akhbar bahasa Cina kelmarin, beliau dilaporkan berkata, pelajar Cina digalakkan melanjutkan pelajaran di MRSM kerana mutu kursus ditawarkan setaraf dengan peringkat antarabangsa.

Sivarasa dipetik berkata, beliau terkejut apabila mendapati ramai bukan Bumiputera tidak mengetahui langsung adanya kuota 10 peratus terbuka kepada pelajar bukan Bumiputera di MRSM.

Terdahulu, seramai 1,400 graduan GMI menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Berita Harian X