Ahad, 11 November 2018 | 4:05pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyampaikan bantuan kotak makanan kepada penerima pada majlis Temurapat Bersama Petani di pekarangan Surau Pak Kassim, Tanjung Piandang, hari ini. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Wujud mekanisme khas bantu tuntutan nafkah

PARIT BUNTAR: Kerajaan akan mewujudkan satu mekanisme baharu bagi membela golongan wanita yang ditindas untuk menuntut nafkah selepas diceraikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Katanya, antara mekanisme itu ialah membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Malaysia (JKSM) menggunakan kaedah seperti menuntut caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dari akaun bank bekas suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan itu, setelah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Menurutnya Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) jabatan itu akan memberi tempoh enam bulan kepada suami selepas diputuskan oleh mahkamah, untuk membayar nafkah isteri yang diceraikan itu.

“Dalam tempoh enam bulan itu, jika wanita tidak mendapat nafkah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap bekas suami selain akan menuntut bayaran selama enam bulan nafkah yang diberikan BSK dari suami berkenaan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Temurapat Bersama Petani di pekarangan Surau Pak Kassim, Tanjung Piandang, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mujahid dilaporkan berkata, sekatan terhadap akaun bank suami yang ‘liat’ membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak adalah antara cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan keadilan syariah kepada golongan berkenaan.

Pada masa ini, katanya, perbincangan mengenainya sedang dilakukan bagi memperincikan penguatkuasaan lebih ketat terhadap keadilan syariah bagi wanita yang menjadi mangsa pengabaian bekas suami selepas perceraian walaupun sudah mendapat arahan mahkamah.

Mujahid berkata, beliau akan bertemu dengan BSK dalam masa terdekat untuk membincangkan lebih lanjut daripada aspek perundangan berhubung mekanisme baharu tuntutan nafkah itu kerana ia membabitkan pentadbiran negeri yang mempunyai peraturan dan undang-undang keluarga Islam yang berbeza.

Ditanya mengenai isu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), beliau berkata, sudah berjumpa dengan 10 NGO Islam, baru-baru ini, dan mendengar pendapat serta pandangan mereka mengenai perkara berkenaan.

Katanya, ada beberapa perkara yang ingin ditegaskan mengenai isu berkenaan iaitu ICERD tidak akan menjejaskan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kedudukan Islam, kebebasan beragam, hak istimewa Bumiputera, kuasa Raja-Raja Melayu dan hak negeri untuk mentadbir Islam.

“Kedua, kita perlu memahami jika perjanjian itu ditandatangani, ia belum menjadi undang-undang kerana isu itu akan kembali kepada Parlimen (untuk dibahaskan bagi ditolak atau disokong), yang bermakna ia boleh diterima dan boleh ditolak jika ada undang-undang yang hendak digubal bersesuaian dengan piawaian yang ditetapkan.

“Ketiga, ICERD itu sendiri tidak menyebut kita perlu korbankan diskriminasi yang wujud dalam konteks positif iaitu pembelaan kepada kaum yang ditindas malah jika kaum yang ditindas itu tidak dibela, itu adalah satu diskriminasi,” katanya.

Menurutnya, perkara asas yang menjadi tulang belakang pembentukan negara Malaysia yang tidak akan dikompromi malah adalah tidak berasas untuk digubal sehingga boleh menimbulkan situasi mencemaskan.

“Kita dah maju ke depan dan Pakatan Harapan adalah satu naratif Malaysia baharu di mana sekiranya ada masalah kita akan berbincang seperti adik beradik dengan cara baik...Jika saya sedia mendengar hujah mereka, begitu juga mereka (sedia dengar hujah saya),” katanya.

Berita Harian X