Ahad, 11 November 2018 | 11:31am
TUN Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Seni penghubung kepelbagaian etnik, kaum - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata seni berupaya menjadi penghubung dan memberi nilai positif terhadap hubungan kaum serta etnik yang berlainan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, seni juga menjadi cermin kepada kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia yang wujud sejak dahulu lagi.

“Bagi yang menghayati seni dan mewakili pelbagai kaum serta budaya di negara ini dengan mendalam, mereka berupaya menghasilkan kerja seni yang mewakili kepelbagaian terbabit.

“Saya percaya bukan mudah untuk menghasilkan kerja seni yang mampu mempamerkan kepelbagaian itu di dalam satu atau dua kerja seni saja kerana kumpulan etnik dan sub etnik di Malaysia melebihi 100 kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis perasmian Gemilang Pameran Koleksi Lukisan Wajah dan Budaya Etnik Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, penasihat pameran terbabit, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Presiden Soka Gakkai Malaysia, Michael Kok Fook On.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pameran terbabit amat diperlukan untuk mempamerkan hasil seni yang mampu menonjolkan kepelbagaian yang ada di negara ini.

“Pameran ini penting untuk kita mengenali latar belakang, budaya dan adat kumpulan etnik berlainan yang secara langsung memberi nilai positif kepada hubungan antara kaum,” katanya.

Pameran Koleksi Lukisan Wajah dan Budaya Etnik Malaysia mempamerkan 44 lukisan yang dihasilkan oleh pelukis terkenal, Ismail Embong dan anaknya, Fatimah Rohani atau lebih dikenali sebagai Emma Maembong.

Pameran itu berlangsung sejak 13 Oktober lalu hingga 2 Disember ini di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia.

Berita Harian X