Ahad, 4 November 2018 | 3:52pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media sempena Konvensyen Biasa DAP, Sarawak Ke-18 di Crown Square. Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. - Foto Melvin Joni
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media sempena Konvensyen Biasa DAP, Sarawak Ke-18 di Crown Square. Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. - Foto Melvin Joni

GPS, Kerajaan Sarawak perlu sedar diri

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu sedar diri dan jangan terlalu hebat mengkritik peruntukan RM4.35 bilion disalurkan Kerajaan Pusat dalam Belanjawan 2019.

Ia disebabkan Kerajaan Sarawak adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN) yang menguasai kepemimpinan Pusat terdahulu di bawah rejim korup hingga mengakibatkan negara terpaksa menanggung banyak hutang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika memberi peringatan itu, berkata sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan negeri menjadi penyebab negara mengalami kerosakan teruk sehingga jumlah hutang keseluruhan sudah melebihi RM1 trilion.

“Walaupun berdepan jumlah hutang tinggi, Kerajaan Pusat hari ini masih mengekalkan peruntukan sama diterima dengan tambahan RM10 juta kepada Sarawak. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Pusat untuk terus menyalurkan peruntukan dalam Belanjawan 2019.

“Namun, saya mahu mengingatkan kepada pihak yang suka mengkritik tambahan RM10 juta itu kerana mereka (kerajaan negeri) juga adalah sebahagian penyebab kerosakan kepada negara ini kerana menyokong seorang Perdana Menteri yang korup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Konvensyen DAP Sarawak Ke-18, di Crown Square, di sini hari ini.

Siew Loke yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, ketika mengulas lanjut, berkata rakyat Sarawak tidak sepatutnya mudah termakan dengan kenyataan menyeleweng mendakwa Kerajaan Pusat meminggirkan negeri ini.

“Belanjawan 2019 adalah positif kerana biarpun berdepan pelbagai cabaran dengan hutang kerajaan yang besar, Kerajaan Pusat masih bertahan dan mengekalkan peruntukan kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM30 bilion diperoleh hasil dividen khas daripada PETRONAS perlu digunakan untuk bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mencapai nilai RM37 bilion, dengan jumlah berkenaan tidak pernah dibayar oleh kerajaan terdahulu.

“Jadi, jumlah itu tidak mampu digunakan bagi tujuan pembangunan. Kita perlu membayar balik tunggakan cukai kepada rakyat kerana kerajaan terdahulu tidak melakukannya dalam tempoh tiga tahun lalu. Bila kita melaksanakan langkah itu, ia akan mengembangkan kembali ekonomi termasuk di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen menempelak kenyataan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Sarawam, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, kerana kejahilannya mengulas berkenaan Belanjawan 2019.

“Saya tidak tahu daripada sumber mana beliau memperoleh angka Sarawak hanya mendapat 1.4 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2019. Jumlah peruntukan diterima Sarawak adalah RM4.35 bilion daripada keseluruhan RM54.7 bilion bagi peruntukan pembangunan, bukan keseluruhan Belanjawan 2019,” katanya.

Katanya, sebanyak RM259.9 bilion atau 82.6 peratus digunakan untuk perbelanjaan mengurus, termasuk membayar gaji penjawat awam kerajaan termasuk guru, doktor, jururawat, polis dan banyak lagi kakitangan awam termasuk yang berkhidmat di Sarawak.

Chieng Jen yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata hasrat mendapatkan 30 peratus peruntukan pembangunan kepada Sarawak dan Sabah tidak mampu direalisasikan kerana kekangan hutang tinggi.

Berita Harian X