Sabtu, 3 November 2018 | 10:24pm

Belanjawan 2019 realistik, tingkat kemampuan belia - GPMS

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam disifatkan sebagai satu belanjawan yang realistik dan dapat mendidik golongan belia supaya tidak terlalu bergantung harap kepada bantuan penuh kerajaan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata sudah tiba masanya rakyat tidak lagi mengharapkan insentif-insentif berlebihan untuk memastikan negara lebih stabil, aman dan makmur.

Zambri Mohd Isa. - Foto NSTP
Zambri Mohd Isa. - Foto NSTP

“Kami percaya dengan pengurangan insentif kepada rakyat terutama kepada golongan belia dan mahasiswa, ini akan menjadikan anak muda lebih berdikari tanpa bantuan dan sokongan daripada mana-mana pihak.

“Inilah masanya rakyat harus memahami kekangan yang dihadapi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, GPMS berharap kementerian terbabit dapat mengadakan sesi dialog bersama golongan belia untuk menerangkan peluang-peluang mereka dalam Belanjawan 2019.

“Kami yakin ramai anak muda akan memanfaatkan peluang ini dengan tidak terlalu berharap kepada bantuan kerajaan sebaliknya mempunyai budaya inovasi untuk menambah pendapatan,” katanya.

Zambri berkata, GPMS turut optimistik kedudukan ekonomi dan kewangan negara akan terus mapan serta berdaya saing di saat ketidaktentuan kedudukan ekonomi global.

Katanya, orang ramai juga sedia maklum kerajaan Malaysia telah kembalikan percukaian lama, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang telah menyebabkan kerajaan Malaysia kehilangan sejumlah besar pendapatan.

“Kehilangan SST mengakibatkan kerajaan tidak dapat memberi insentif-insentif yang lebih baik berbanding Bajet 2018 dan juga menunaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan,” katanya.

Berita Harian X