Sabtu, 3 November 2018 | 5:24pm
MADELINE Berma

Tiada inisiatif baharu untuk wanita

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 disifatkan kurang menyeluruh, termasuk tidak mampu menyelesaikan masalah asas kadar penyertaan wanita yang masih rendah dalam tenaga kerja dan pada peringkat pembuat keputusan.

Penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma, berkata beliau secara peribadi melihat tiada inisiatif baharu untuk wanita dalam belanjawan kali ini, sekali gus tidak dapat mengurangkan jurang gender.

“Lazimnya untuk memperkasakan wanita, kerajaan perlu memberi insentif bagi memudahkan golongan itu masuk dan kekal dalam pasaran buruh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperhalusi belanjawan terbabit, selain memberi insentif kepada majikan yang mengamalkan waktu kerja anjal atau membenarkan kakitangan bekerja dari rumah.

Selain itu, katanya, kerajaan disaran mewajibkan syarikat membuat pelaporan mengenai penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan dan inisiatif menyediakan pusat penjagaan anak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita Islam Malaysia (PEWANIS), Wan Lotfiah Abdul Latiph, berkata isu 60 peratus atau 2.6 juta wanita tidak bekerja kerana beban kerja di rumah, perlu turut mendapat perhatian suami dengan menukar ‘mindset’.

“Pada masa sama, sektor awam dan swasta perlu lebih komited menarik wanita bekerja, termasuk menawarkan waktu kerja anjal, bekerja dari rumah dan memberi insentif khusus untuk mereka,” katanya.

Berita Harian X