Sabtu, 3 November 2018 | 2:18pm
WAN Azizah mendengar penerangan berkenaan applikasi CafeTEEN oleh Sahabat CafeTEEN, Rabiatul Adawiyah Zaharuddin sempena Majlis Perasmian Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman
WAN Azizah mendengar penerangan berkenaan applikasi CafeTEEN oleh Sahabat CafeTEEN, Rabiatul Adawiyah Zaharuddin sempena Majlis Perasmian Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Belanjawan 2019 untuk rakyat - Dr Wan Azizah

SEREMBAN: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan Belanjawan 2019 menunjukkan usaha kerajaan untuk membantu rakyat walaupun berhadapan dengan kekangan ekonomi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, meskipun dibelenggu pelbagai hutang negara, kerajaan masih cuba menyediakan belanjawan yang memberi manfaat kepada rakyat melalui pelbagai insentif seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.

“Dalam masalah negara sekarang yang menghadapi pelbagai hutang, Belanjawan 2019 adalah baik kerana memberi banyak insentif dan pertolongan untuk rakyat dalam merakyatkan belanjawan.

“Kita sudah cuba melakukan yang terbaik dan apa saja yang diberikan bergantung kepada keadaan ekonomi sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Nicole Tan Lee Koon; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Timbalan Speaker Negeri, M Ravi.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, kementerian amat berbesar hati dengan peruntukan berjumlah RM45 juta untuk skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI.

Selain itu, beliau berkata, Belanjawan 2019 turut memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan ke arah meringankan bebanan kerja ibu yang bekerja.

“Kita melihat kerajaan cuba beri apa yang kita (kementerian) mohon. Walaupun peruntukan agak terhad, kerajaan cuba sedaya upaya untuk berikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Dr Wan Azizah turut melancarkan aplikasi maya ‘mykafeTEEN’ untuk mendidik dan memberi khidmat sokongan kepada remaja khususnya berkaitan isu kesihatan reproduktif secara maya.

Perkhidmatan yang disediakan merangkumi maklumat kesihatan reproduktif, permainan edutainment, e-games selain kegiatan interaktif Teen Talk dan Teen Chat bersama kaunselor remaja serta doktor.

Berita Harian X