Jumaat, 2 November 2018 | 5:18pm

Sektor pembuatan dijangka berkembang 4.7 peratus tahun depan

KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan dijangka berkembang 4.7 peratus tahun depan disokong oleh industri berorientasikan eksport berikutan perkembangan berterusan dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta kimia dan produk kimia.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, pertumbuhan dalam output E&E akan terus meningkat disebabkan oleh peningkatan penggunaan alat boleh dipakai dan aplikasi rumah pintar.

Perkembangan itu selaras dengan penumpuan ke arah teknologi digital dan inovasi reka bentuk litar elektronik bersepadu bagi mengadaptasi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), katanya.

Menurut laporan itu, dalam industri kimia pula, pengeluaran petrokimia dan kimia oleo dijangka mendapat manfaat daripada lebihan pengeluaran bahan mentah bagi minyak dan gas (O&G) serta minyak sawit seiring dengan permintaan kukuh dari China, Indonesia dan Thailand.

Katanya industri berorientasikan domestik akan dipacu oleh pertumbuhan subsektor makanan yang kekal teguh berikutan peningkatan permintaan isi rumah yang kukuh.

Sementara itu, katanya subsektor berkaitan pembinaan akan disokong oleh pertumbuhan aktiviti pembinaan yang berterusan.

Menurut laporan itu, sektor pembuatan meningkat 5.1 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2018 dan dijangka berkembang 4.9 peratus pada tahun ini didorong terutamanya oleh industri yang berorientasikan eksport.

Katanya pertumbuhan itu selari dengan kenaikan indeks pengeluaran pembuatan 4.9 peratus tahun ke tahun dan jualan produk pembuatan sebanyak 7.3 peratus tahun ke tahun dalam tempoh lapan bulan pertama 2018.

Menurut laporan itu, peningkatan berterusan dalam kitaran elektronik dan aktiviti perindustrian global yang menggalakkan dijangka menyumbang kepada permintaan kukuh terhadap eksport produk Malaysia, seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan bagi pengeluaran barangan pembuatan berorientasikan eksport.

Ini termasuklah barangan produk E&E, petroleum, kimia, getah dan plastik, katanya.

Katanya industri berorientasikan domestik akan terus kukuh disokong oleh permintaan berterusan bagi produk berkaitan pengguna dan pembinaan. - BERNAMA

Berita Harian X