X
Jumaat, 2 November 2018 | 5:12pm

Sektor pembinaan dijangka meningkat sedikit pada 2019

KUALA LUMPUR: Momentum pertumbuhan sektor pembinaan dijangka meningkat sedikit pada 2019 dan berkembang 4.7 peratus berikutan peningkatan dalam penawaran baharu dirancang bagi segmen rumah mampu milik dan industri.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, semakan semula beberapa projek infrastruktur serta aktiviti pembinaan yang perlahan dalam subsektor bukan kediaman dijangka memberi tekanan terhadap prestasi sektor pembinaan.

“Subsektor kejuruteraan awam dijangka kekal sebagai pemacu sektor pembinaan pada 2018 dan 2019 disokong oleh projek yang sedang dilaksanakan.

“Antara projek infrastruktur itu termasuk Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Central Spine Road di Pantai Timur serta Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) di Lembah Klang,” kata laporan itu.

Sementara itu, subsektor kediaman dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan berikutan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan.

“Pemaju memberi tumpuan kepada penjualan projek perumahan sedia ada untuk menangani isu harta tanah kediaman yang tidak terjual, manakala kerajaan akan terus menyediakan perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana melalui pelbagai program,” kata laporan itu. - BERNAMA

Berita Harian X