Khamis, 1 November 2018 | 3:49pm
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye bergambar bersama orang ramai pada program Media Serta Cabaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Revolusi Industri (IR) 4.0, di Bangi, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

NIOSH gesa majikan sedia bajet KKP

BANGI: Majikan di negara ini termasuk syarikat media perlu menyediakan bajet tahunan khusus bagi mempertingkatkan ilmu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) kepada semua kakitangannya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihaknya mendapati kesedaran pengamal media terhadap KKP masih rendah, sedangkan persekitaran pekerjaan mereka sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan atau kecederaan.

Katanya, majikan juga tidak sepatutnya menganggap soal keselamatan satu bebanan yang perlu dijimatkan.

"Banyak (pengurusan) syarikat yang saya temui, bila ditanya bajet untuk KKP ini, mereka beritahu tiada bajet. Kita faham dalam keadaan ekonomi kurang menarik, pelbagai langkah dilakukan syarikat bagi menjimatkan kos operasi.

"Namun, kita (syarikat) tidak boleh memikirkan keselamatan seseorang pekerja sebagai satu kos. Andaikan mereka terbabit kemalangan, syarikat yang rugi kerana kehilangan aset terlatih hingga menjejaskan produktiviti.

"Majikan jangan anggap ia bebanan, sebaliknya satu keprihatinan untuk kebajikan dan keselamatan pekerja," katanya kepada media selepas merasmikan program Media Serta Cabaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Revolusi Industri (IR) 4.0, di sini, hari ini.

Seramai 50 wakil media daripada pelbagai agensi menghadiri seminar berkenaan.

Menurut Lam Thye, pihaknya mencadangkan syarikat media membuat pelaburan membeli peralatan moden yang boleh melindungi keselamatan kakitangan mereka.

“Dron misalnya, boleh digunakan untuk meninjau tempat bencana tanpa perlu wartawan pergi ke lokasi yang berisiko berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau menasihati pengamal media mengetahui hak berkaitan KKP supaya dapat bertugas dalam keadaan selamat dan sihat.

"Oleh kerana banyak syarikat didapati tiada bajet untuk KKP, pihak pekerja perlu memainkan peranan menuntut hak mereka.

"Katakan mereka ditugaskan membuat liputan di kawasan kebakaran atau pencemaran alam sekitar, jika majikan tidak sediakan peralatan untuk melindungi keselamatan, mereka boleh menolak membuat tugasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, pihaknya bercadang mengadakan Program Induksi Keselamatan percuma kepada pengamal media bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan KKP pada awal tahun depan.

"Saya sudah berbincang dengan pengurusan NIOSH dan arahkan mereka menghubungi syarikat media untuk mendapatkan kerjasama.

"Program sehari itu akan mendedahkan peserta mengenai pemahaman aspek perundangan dan kepentingan menggunakan peralatan perlindungan diri ketika bertugas," katanya.

Berita Harian X