Khamis, 1 November 2018 | 3:37pm
RAJA Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
RAJA Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

Pangkalan data kenal pasti permintaan hartanah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi mengenal pasti permintaan sebenar perumahan di sesuatu kawasan, dalam usaha menangani masalah lambakan kediaman tidak terjual.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata pangkalan data itu boleh digunakan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri dan pemaju swasta.

“Isu lambakan rumah tidak terjual berpunca daripada masalah tidak sepadan dan ia berlaku kerana ada sesetengah kawasan mempunyai bekalan tinggi berbanding keperluan.

“Bagi mengatasinya, kerajaan akan mewujudkan pangkalan data yang boleh digunakan mana-mana agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemaju.

“Ia akan membolehkan mereka mengenal pasti permintaan sebenar perumahan di sesuatu kawasan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-DAP Kluang) mengenai penyelesaian kerajaan dalam menangani isu lambakan kediaman akibat masalah tidak sepadan.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia, Pusat Maklumat Hartanah dan Jabatan Perangkaan Negara untuk mengatasi masalah terbabit.

Berkenaan isu lambakan hartanah mewah, beliau berkata, statistik suku pertama tahun ini menunjukkan hanya 13 peratus hartanah bernilai RM1 juta ke atas tidak terjual, berbanding 61 peratus atau 17,883 daripada 29,227 unit kediaman bawah RM500,000.

“Statistik ini menyangkal dakwaan berlaku ketidakseimbangan pasaran hartanah kerana berlaku lambakan hartanah mewah seperti didakwa,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sekatan penjualan hartanah belum terjual di Forest City, Johor kepada warga asing, Raja Kamarul Bahrin berkata, usaha tertentu giat dilaksanakan.

“Bagi projek Forest City, lebih 93 peratus hartanah dimiliki warga asing dan bakinya oleh rakyat tempatan.

“KPKT sudah mengambil beberapa langkah iaitu dengan mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju dan kerajaan Johor.

“Kita mahu mencari jalan supaya rakyat tempatan tidak ketinggalan daripada memiliki hartanah dalam projek berkenaan.

“Bagaimanapun, Forest City adalah di bawah kerajaan Johor, ia tidak ada had ditetapkan untuk pembelian oleh warga asing,” katanya.

Berita Harian X