Selasa, 30 Oktober 2018 | 8:24pm
DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

Keluarkan AP gula halus sementara - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Permit import (AP) gula halus akan dikeluarkan secara sementara kepada pihak berkaitan untuk menampung kekurangan bekalan bahan mentah itu dalam kalangan pengilang makanan minuman di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penyelesaian jangka pendek berkenaan terpaksa diambil memandangkan operasi kilang syarikat pengeluar gula tempatan, Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) di Shah Alam ketika ini ‘lumpuh’ berikutan isu teknikal.

Katanya, isu itu diutarakan beberapa pemain industri dalam satu pertemuan dengan pihak kementerian, sekali gus menuntut jalan penyelesaian secara tuntas bagi memastikan operasi pengeluaran produk makanan dan minuman yang bergantung kepada bekalan gula tidak terencat.

“Wakil daripada Nestle dan Coca-Cola ada berjumpa bagi menyuarakan kegusaran mereka selepas mendapati bekalan gula halus daripada CSR bakal terjejas ekoran masalah ‘boiler’ (dandang) kilang syarikat pengeluar terbabit di Shah Alam.

“Oleh itu, kementerian akan memperuntukkan AP sementara, sama ada kepada pemain industri atau pengeluar (CSR), sehingga masalah kekurangan bekalan gula halus ini dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui CSR sebagai antara pengeluar utama industri gula halus di negara ini mempunyai rangkaian hubungan untuk membawa masuk bahan mentah itu secepat mungkin dan pada kadar sewajarnya jika AP diberikan kepada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengeluarkan AP secara terus kepada pemain industri seperti Nestle dan Coca-Cola sekiranya langkah sedemikian berupaya mempercepatkan proses pembekalan bahan mentah.

“Kalau AP (untuk mengimport gula halus) diberikan kepada pemain industri dan ia tidak mengundang sebarang masalah berbangkit, maka kita tidak mempunyai sebarang halangan untuk berbuat demikian.

“Percaturan sama ada AP akan diberikan kepada pemain industri atau CSR akan dibuat esok atau lusa, selepas meneliti semua kemungkinan dan pendekatan terbaik dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Berita Harian X