Jumaat, 26 Oktober 2018 | 6:20pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk dua, kanan) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (kanan) bergambar bersama rakyat Malaysia pada Majlis Makan Tengahari dan Sesi Khas Bersama Diaspora Rakyat Malaysia di Thailand, semalam. Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (duduk dua, kiri) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking (duduk kiri). - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk dua, kanan) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (kanan) bergambar bersama rakyat Malaysia pada Majlis Makan Tengahari dan Sesi Khas Bersama Diaspora Rakyat Malaysia di Thailand, semalam. Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (duduk dua, kiri) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking (duduk kiri). - Foto BERNAMA

Lawatan Mahathir cetus semangat baharu untuk segera selesai konflik selatan Thailand

BANGKOK: Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Thailand, yang berakhir semalam, mencetuskan kesungguhan dan semangat baharu dalam kalangan pegawai Malaysia dan Thailand untuk segera menggerakkan kembali proses damai selatan Thailand yang kini seolah-olah berada dalam keadaan nazak.

Selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Jen Prayut Chan-o-cha, pemimpin Malaysia berusia 93 tahun itu berjanji Malaysia akan membantu jirannya “melalui apa jua cara yang boleh” bagi mencapai perdamaian di selatan Thailand.

“Dalam aspek tertentu, ia membuka era baharu dari segi arah tuju dan kesungguhan untuk mempercepatkan proses damai yang sudah berlangsung selama enam tahun,” kata Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang baru dilantik sebagai fasilitator Malaysia bagi proses damai itu kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua proses damai dari pihak Thailand, Jen Udomchai Thammasarorath di sini.

“Kini wujud ‘era baharu’ dan momentum yang lebih bertenaga ke arah mencapai perdamaian di selatan Thailand serta gesaan supaya proses itu dipercepatkan,” katanya.

Bekas Ketua Polis Negara berusia 75 tahun itu, yang turut menyertai delegasi Perdana Menteri pada mesyuarat dua hala bersempena lawatan berkenaan, menyuarakan keyakinannya bahawa kitaran keganasan di wilayah yang sudah meragut lebih 7,000 nyawa itu, akan berakhir tidak lama lagi.

“Apabila sudah dapat melihat dengan jelas keseluruhan isu, terserahlah sejauh mana keazaman seseorang itu untuk menanganinya. Saya sudah dapat melihatnya dengan jelas,” kata beliau.

Malaysia memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi rundingan damai selatan Thailand antara Bangkok dan Mara Patani (Majlis Syura Patani), yang mewakili beberapa kumpulan dari wilayah berkenaan.

Ketika berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia, Abdul Rahim, yang mengambil alih peranan itu daripada fasilitator sebelum ini, Datuk Ahmad Zamzamin Hashim, memainkan peranan penting dalam usaha yang membawa kepada tindakan Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata dan termeterainya perjanjian Damai Hatyai pada 1989.

Sebelum perjanjian damai itu ditandatangani pada 1989, kerajaan Malaysia dan PKM mengambil masa hampir setahun untuk berbincang dan berunding di Phuket.

“Secara peribadi, saya benar-benar yakin bahawa sekiranya wujud momentum yang tepat, perdamaian di selatan Thailand akan dapat dicapai dengan lebih cepat,” katanya sambil menjelaskan bahawa Udomchai ingin melihat perkara itu dicapai dalam tempoh empat bulan akan datang, walaupun ia merupakan sesuatu yang agak mustahil berikutan kerumitan yang membelenggu isu berkenaan.

Menurut beliau, ini kerana, selain perlu berbincang dengan pihak dari Thailand, beliau juga perlu berkomunikasi dengan gerakan pemisah Islam, yang terdiri daripada kumpulan berpendirian sederhana dan tegar serta tidak sepakat mengenai isu tertentu.

Sejak memikul tugas itu tiga bulan lepas, Abdul Rahim sudah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak dan yakin kumpulan tegar berkenaan akan menjadi sebahagian daripada proses damai yang beliau cuba pupuk dengan Bangkok.

Pihak yang dirujuk sebagai kumpulan tegar itu ialah Barisan Revolusi Nasional (BRN), terutama sayap tentera dalam bayangannya, yang dianggap kumpulan paling lengkap bersenjata dan berpengaruh di selatan Thailand.

Pihak berkuasa menuduh mereka bertanggungjawab bagi sebahagian keganasan yang berlaku di wilayah itu.

Ditanya sama ada puak pemisah itu menuntut kemerdekaan atau autonomi, beliau menafikan mereka berbuat demikian.

Katanya, selepas tiga bulan menjalankan tugas itu, beliau dapati puak pemisah antara lain mahu mendapatkan autonomi bagi perkara berkaitan agama, kebudayaan dan bahasa, selain mereka diberi pengiktirafan sebagai ‘umat Islam Thailand.’

“Semua pihak perlu mempunyai kesungguhan politik untuk mencari penyelesaian sewajarnya bagi selatan Thailand,” kata Abdul Rahim. - BERNAMA

Berita Harian X