Khamis, 25 Oktober 2018 | 2:44pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk dua, kiri) berbual bersama President Privy Council Thailand Jeneral Prem Tinsulanonda (duduk tiga, kanan) ketika membuat kunjungan hormat ke rumah beliau hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk dua, kiri) berbual bersama President Privy Council Thailand Jeneral Prem Tinsulanonda (duduk tiga, kanan) ketika membuat kunjungan hormat ke rumah beliau hari ini. - Foto BERNAMA

PM harap rakyat Malaysia di Thailand labur semula di tanah air

BANGKOK: Komuniti perniagaan Malaysia di Thailand perlu mempertimbangkan untuk melabur semula di Malaysia bagi menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau memuji rakyat Malaysia yang tinggal di Thailand masih lagi mengambil berat mengenai keadaan semasa negara walaupun sudah bertahun-tahun tinggal di luar negara.

“Harap jangan lupa, ketika melabur di Thailand, sekali sekala jangan lupa, Malaysia juga memerlukan pelaburan anda. Sebagai ahli perniagaan yang berjaya anda boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan pembukaannya ketika mengadakan mesyuarat dengan Dewan Perdagangan Malaysia-Thailand (MTCC) diketuai oleh Pengerusinya, Hwee Khim Boo dan Pengerusi Kehormat Yeap Swee Chuan.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Ia adalah lawatan hari kedua Dr Mahathir ke Thailand bermula semalam.

Perdana Menteri berkata komuniti perniagaan Malaysia sudah melakukan sumbangan besar kepada hubungan erat dan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Tahun lalu perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencecah lebih RM90 bilion dengan imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia.

Terdahulu Swee Chuan dalam ucapan pembukaannya berkata rakyat Malaysia di Thailand sedang membina sebuah Rumah Malaysia di Bangkok, sama seperti yang terdapat di London dan berharap kerajaan dapat menyumbang untuk kos pembinaannya.

Beliau berkata MTCC menjangkakan kos pembinaan rumah itu antara RM20 dan RM25 juta dan berharap kerajaan dapat menyumbang untuk tujuan itu.

Dalam responsnya, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menyumbang berdasarkan keadaan ekonomi semasa negara.

“Kami sangat miskin sekarang,” katanya secara berseloroh.

Terdahulu Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi TCC Group Tan Sri Charoen Sirivadhanabakdi. - BERNAMA

Berita Harian X