Rabu, 24 Oktober 2018 | 10:12pm
DR Wan Azizah (kiri) mengadakan pertemuan dengan Nguyen Thi Kim Ngan di pejabatnya di Perhimpunan Kebangsaan Vietnam hari ini. - Foto BERNAMA
DR Wan Azizah (kiri) mengadakan pertemuan dengan Nguyen Thi Kim Ngan di pejabatnya di Perhimpunan Kebangsaan Vietnam hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia-Vietnam terus jalin kerjasama akrab - Dr Wan Azizah

HANOI: Malaysia dan Vietnam akan terus meningkatkan kerjasama yang sudah terjalin akrab selama 45 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memberi perhatian dalam isu Laut China Selatan dan membantu antara satu sama lain sebagai negara anggota ASEAN.

“Vietnam mahu Laut China Selatan bebas daripada apa-apa unsur yang tidak baik dan kita akan bekerjasama.

“Kita juga melihat bagaimana hubungan dalam ASEAN itu membantu kita apabila ada kerenggangan atau masalah serta isu antara China dan Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam, Nguyen Thi Kim Ngan.

Beliau berkata, Malaysia juga bersetuju mengambil kira kebajikan kira-kira 30,000 pekerja Vietnam di Malaysia daripada unsur eksploitasi.

“Kalau ada unsur-unsur eksploitasi memang kita (akan ambil tindakan) terutamanya keadaan tempat tinggal dan cara-cara mereka dikendalikan, janganlah ada agensi haram yang melakukan eksploitasi,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata dalam pertemuannya dengan wanita pertama yang dilantik sebagai pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam itu, mereka juga membincangkan usaha memperkasa golongan wanita di ASEAN.

Beliau dimaklumkan 26 peratus anggota Perhimpunan Kebangsaan Vietnam terdiri daripada wanita.

“Wanita perlu diberi peluang dan hak sama rata menceburi bidang-bidang yang mereka inginkan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata isu memperkasa wanita juga akan menjadi agenda utama pada Mesyuarat Ke-3 Menteri-Menteri ASEAN mengenai Wanita (AMMW) yang bakal dihadirinya esok di Hanoi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba Hanoi hari ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari di Vietnam dan ketibaan beliau disambut Duta Malaysia di Vietnam Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke Vietnam selepas dilantik timbalan perdana menteri pada 21 Mei susulan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negara Pham Binh Minh.

Dr Wan Azizah juga akan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia di Hanoi dan menghadiri sesi dengan pasukan bola sepak wanita Bawah-19 Malaysia yang kini berada di bandaraya ini bagi kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2019.

Vietnam ialah antara rakan perdagangan penting Malaysia, dengan jumlah dagangan pada 2017 sebanyak AS$11.7 bilion, meningkat sebanyak 13.9 peratus daripada 2016, menjadikan Malaysia rakan perdagangan ke-13 terbesar di dunia dan keempat dalam ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia. - BERNAMA

Berita Harian X