Rabu, 24 Oktober 2018 | 10:01pm

Mahathir diberi sambutan rasmi di Rumah Kerajaan

BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melakukan lawatan rasmi ke Thailand hari ini diberi sambutan rasmi di Rumah Kerajaan di sini, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha dan pejabat menteri Kabinet beliau.

Ketibaan Dr Mahathir, yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, disambut Prayut dan isteri, Naraporn.

Dr Mahathir yang tiba di sini pada tengah hari, kemudian memeriksa perbarisan hormat oleh anggota tentera Thailand.

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menjadi perdana menteri ketujuh selepas menerajui gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Ketika menjadi perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, Dr Mahathir melakukan lima lawatan rasmi ke Thailand.

Selepas upacara sambutan rasmi, Dr Mahathir dan Prayut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala tertutup bagi membincangkan isu kepentingan bersama Malaysia-Thailand.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking serta pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu, Naraporn menjadi hos pada majlis berasingan bagi meraikan Dr Siti Hasmah di Phitsanulok Mansion, kediaman rasmi Perdana Menteri Thailand.

Prayut pula akan meraikan rakan sejawatan beliau dari Malaysia itu pada majlis jamuan rasmi di Bangunan Santimaitree, di kompleks Rumah Kerajaan malam ini.

Esok, Dr Mahathir dijadual mengadakan pertemuan dengan pengerusi TCC Group, Tan Sri Charoen Sirivadhanabhakdi dan bekas perdana menteri Thailand Jeneral (B) Prem Tinsulanonda serta mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia di negara ini.

Beliau juga dijadual memberi syarahan umum mengenai ASEAN di Universiti Chulalongkorn sebelum berlepas pulang ke tanah air. – BERNAMA

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha (dua, kiri) memeriksa perbarisan kehormat sempena lawatan rasmi beliau Thailand di Rumah Kerajaan hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha (dua, kiri) memeriksa perbarisan kehormat sempena lawatan rasmi beliau Thailand di Rumah Kerajaan hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X