Jumaat, 19 Oktober 2018 | 5:09pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap ketika sidang media selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan), semalam. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap ketika sidang media selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan), semalam. - Foto Asyraf Hamzah

Hadkan tempoh perkhidmatan PM, MB, KM dapat sokongan

KUALA LUMPUR: Rata-rata pelayar laman sosial menyokong cadangan kerajaan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Parlimen, semalam, tempoh itu dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik.

Langkah itu adalah sebahagian daripada keutamaan dan penekanan baharu dalam reformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

Berdasarkan undian dalam talian yang berlangsung hampir 20 jam menerusi Facebook BH, Harian Metro dan New Straits Times membabitkan 21,200 pelayar laman sosial, 81.7 peratus (18,130 pelayar) didapati bersetuju supaya tiga jawatan tinggi itu masing-masing dihadkan kepada tempoh dua penggal.

Dapatan di ketiga-tiga Facebook media Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) menunjukkan hanya 18.3 peratus (3,070 pelayar) tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Twitter BH
Twitter BH

Di ruangan Twitter pula menunjukkan sebanyak 25,371 pelayar membuat undian.

Hasil undian di Twitter menyaksikan 81.7 peratus (20,721 pelayar) bersetuju, manakala 18.3 (4,650 pelayar) peratus tidak menyokong cadangan kerajaan mengehadkan tempoh perkhidmatan ketiga-tiga jawatan tertinggi itu.

Selain undian, pelayar media sosial juga mengemukakan pandangan mereka di ruangan komen.

Bagi seorang netizen, Aeiry Qusyairy, beliau bersetuju dengan langkah kerajaan itu sambil mencadangkan apabila pemimpin berkenaan cukup dua penggal, mereka mesti bersara terus daripada arena politik.

Beliau berkata, langkah itu dapat memberi peluang kepada muka baharu untuk diangkat sebagai perintis atau pemimpin.

“Setuju. Kalau dah (sudah) cukup had tadbir negara terus bersara dalam politik, terus bagi muka baru (baharu) pula,” katanya.

Netizen dikenali Archer Boyd Jr Hilson pula berkata, langkah mengehadkan tempoh perkhidmatan dapat memastikan pentadbiran tidak dikuasai satu-satu pihak.

“Setuju. Makin lama makin naik kepala sebab ada mindset (pemikiran) yang mana jika silap sebesar mana pun, kau tetap PM (Perdana Menteri). Biarlah sepenggal.

“Macam Amerika Syarikat, people want see changes (rakyat mahu lihat perubahan). Bukan gambar YB (Yang Berhormat) naik limo untuk ke dewan undangan,” katanya.

Terdapat juga netizen yang mempersoalkan langkah kerajaan mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Rio Rashid II berkata, beliau tidak bersetuju kerana langkah kerajaan itu tiada gunanya apabila orang lain diangkat sebagai Perdana Menteri dan individu itu akan menukar semula ke sistem lama.

“Ala...tak ada function (fungsi) pun. Undang-undang boleh ditukar. Sekarang buat la dua penggal, tukar PM lain... dia kasi (bagi) mansuh pula undang-undang dua penggal ini,” katanya.

Ada juga yang mencadangkan perkhidmatan pemimpin terbabit disambung selepas dua penggal setelah mengambil kira rekod prestasi serta mendapat sokongan Majlis Raja-Raja.

Cadangan itu dikemukakan oleh Mohd Amin Mohd Noh yang dipetik sebagai berkata “Wa (saya) cadang 2+1... maksudnya, sekiranya selepas dua penggal dan mempunyai track record (rekod prestasi) yang bagus dan disokong oleh Majlis Raja-Raja, patut disambung sepenggal lagi,” katanya.

Berita Harian X