Jumaat, 19 Oktober 2018 | 2:11pm
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bertemu dengan delegasi majlis perniagaan AS-ASEAN semalam. 40 anggota delegasi yang mewakili 29 syarikat besar Amerika, i.e Google, Coca Cola, Cisco, Harley Davidson & yang lain datang untuk mengikuti perbincangan selepas lawatan PM ke New York bulan lepas. - Foto Chedet

Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary tingkat kefahaman Islam

LONDON: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan koleksi artifak mampu menceritakan mengenai sejarah sesuatu tamadun, manakala muzium pula mendidik serta menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan penubuhan Yayasan Albukhary di Malaysia, yang berpandangan jauh dalam membawa idea pameran ini sejak empat tahun lalu untuk menjadikannya realiti.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dirakamkan sempena pembukaan Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary di Muzium British di sini, baru-baru ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri berkesempatan mengunjungi galeri berkenaan ketika lawatan kerjanya ke London.

Dr Mahathir berkata, beliau berharap dengan persembahan dan karya seni yang menarik di galeri itu lebih ramai pelawat mengunjungi muzium berkenaan.

Katanya, pameran itu juga, secara tidak langsung mampu mengetengahkan karya Islam seterusnya menangani kekurangan pemahaman mengenai sejarah dan tamadun Islam.

“Pembukaan galeri ini adalah satu peristiwa bersejarah kepada Muzium Kesenian Islam Malaysia dan pencapaian yang membanggakan untuk Yayasan Albukhary,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia, Yayasan Albukhary menyasarkan untuk mempromosikan seni dan kraf sebagai daya penjenamaan komuniti pelbagai budaya.

“Apabila masyarakat menghayati seni, budaya, warisan dan seni bina mereka maka secara tidak langsung mereka akan mencari keindahan estetik dan mentafsir makna karya, yang mana negara boleh mencapai tamadun yang tinggi.

“Kebanyakan negara maju sangat menghargai karya seni dan saya bangga bahawa Malaysia kini menunjukkan kemajuan dan berada selangkah ke hadapan dalam isu ini.

“Pelancaran galeri ini menerusi sumbangan Yayasan Albukhary adalah contoh terbaik bagaimana kita secara kolektif dapat menggalakkan penumpuan aspek kemanusiaan melalui seni dan budaya Islam ,” katanya.

Turut merakamkan ucapan tahniah bagi pembukaan galeri itu, Prince of Wales, Prince Charles yang menyatakan kekaguman beliau terhadap karya seni dalam dunia Islam.

“Seni dalam dunia Islam selalu menarik perhatian saya. Saya sangat gembira kerana kita berpeluang mempamerkan karya-karya indah dan menarik yang menampilkan kebenaran dan keindahan Tamadun Islam dalam isu kemanusiaan sejagat,” katanya

Muzium British menerima kira-kira tujuh juta pelawat setiap tahun, dan Galeri Dunia Islam terletak di tingkat tiga muzium itu mula dibuka kepada orang ramai, semalam.

Galeri itu yang dibahagikan kepada dua bilik memaparkan pelbagai koleksi kesenian Islam secara menyeluruh melalui seni dan budaya material.

Ia mempamerkan objek yang memberi gambaran mengenai pertukaran budaya dunia Islam dari Afrika Barat ke Asia Tenggara, bermula sekitar 600 tahun lalu hingga ke hari ini.

Artifak yang dipamerkan termasuk peralatan kehidupan seharian seperti penapis air, seramik, permainan dan alat muzik. Turut dipamerkan tekstil dan barang kemas, seni buku dan seni kontemporari.

Antara artifak yang dipamerkan dari Malaysia termasuklah keris dari Kedah, pending atau tali pinggang serta panel kayu dengan transkrip Melayu dari Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Muzium Kesenian Islam Malaysia, Syed Mohamad Albukhary, beliau sangat teruja melihat hasil kerja keras selama empat tahun untuk merealisasikan galeri itu yang mendapat ulasan lima bintang apabila dibuka kepada media Selasa lalu.

“Saya sangat berpuashati. Inilah kali pertama galeri Islam dibuka di Muzium British dan menampilkan kesenian Islam dari Afrika Utara ke Asia Tenggara. Itulah bahagian yang paling penting pada pameran ini kerana Islam bukan hanya di Asia Barat,” katanya ketika ditemui selepas pembukaan rasmi galeri itu.

Turut berkongsi keseronokan dengan pembukaan galeri itu, Ketua Kurator Asia Tenggara di Perpustakaan British, Datuk Dr Annabel Teh Gallop yang menyatakan galeri itu sangat istimewa.

“Secara peribadi, pameran ini sangat istimewa kerana ini adalah kali pertama dalam sejarah Muzium British, di Galeri Seni Islam, terdapat artifak dari Asia Tenggara, dari dunia Melayu.

“Turut dipamerkan keris yang disampaikan oleh Raja Kedah pada abad ke-18, Bugis Keris, parang Mindanao, sekeping batik dari Sumatera, pending atau tali pinggang dari Malaysia - semuanya mencerminkan kehidupan Islam di Asia Tenggara. Ini penting. Asia Tenggara termasuk dalam kisah seni Islam dunia," katanya.

Berita Harian X