Ahad, 14 Oktober 2018 | 11:26pm
KHAIRY Jamaluddin. - Foto NSTP
KHAIRY Jamaluddin. - Foto NSTP

Khairy masih ambil berat perkembangan atlet paralimpik negara

SEPANG: Walaupun tidak bergelar Menteri Belia dan Sukan tetapi Khairy Jamaluddin mengakui beliau masih mengambil berat mengenai perkembangan semasa atlet paralimpik negara.

Beliau menjelaskan hubungannya dengan atlet paralimpik negara adalah rapat sejak menyandang jawatan berkenaan di bawah kepimpinan kerajaan terdahulu.

“Sepanjang menjadi menteri, saya banyak terbabit dengan mereka (atlet paralimpik) dan sudah bersama-sama dengan mereka sejak muda lagi.

“Jadi, oleh kerana saya tak dapat pergi ke (Sukan Para Asia) di Jakarta baru- baru ini, saya ambil kesempatan hari ini untuk beri penghormatan kepada mereka di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menyambut kepulangan kumpulan terakhir atlet paralimpik negara, di sini, sebentar tadi.

Selain Khairy, ketibaan atlet paralimpik turut disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, serta pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan ahli keluarga atlet paralimpik masing-masing.

Pada masa sama, Khairy, yang juga ahli Parlimen Rembau, turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap kejayaan kontinjen paralimpik negara yang berjaya meraih 17 pingat emas pada Sukan Para Asia 2018

“Tahniah kepada kontinjen para negara kerana mencatat dan mencapai prestasi terbaik negara dalam sejarah sukan para Asia.

“Ini adalah satu kejayaan yang luar biasa dan kejayaan ini menandakan sukan para negara semakin meningkat dari segi prestasi dan pencapaiannya sekali gus memberi petanda baik untuk ke Sukan Paralimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo nanti,” katanya.

Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 di kedudukan kelapan dengan meraih 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dengan kutipan 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa. – BERNAMA

Berita Harian X