Ahad, 14 Oktober 2018 | 4:39pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (enam dari kiri); Pengerusi Eco World Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin (empat dari kiri) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Chang Khim Wah (lima dari kanan) memegang replika cek sumbangan pada Majlis Makan Tengah Hari Penghargaan kepada penderma tabung Yayasan Eco World di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sairien Nafis
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (enam dari kiri); Pengerusi Eco World Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin (empat dari kiri) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Chang Khim Wah (lima dari kanan) memegang replika cek sumbangan pada Majlis Makan Tengah Hari Penghargaan kepada penderma tabung Yayasan Eco World di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sairien Nafis

Yayasan Eco World terima derma RM6.5 juta

PETALING JAYA: Yayasan Eco World menerima RM6.5 juta sumbangan pelbagai pihak bagi membolehkan yayasan itu melaksanakan tanggungjawab sosial membantu golongan kurang bernasib baik.

Sumbangan itu hasil derma sektor korporat dan individu.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pihaknya bersyukur masih banyak syarikat dan ahli perniagaan yang menghulurkan bantuan bagi meningkatkan tabungan yayasan berkenaan.

Katanya, beliau sangat memahami keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini tetapi syarikat tempatan dan orang perseorangan masih tidak melupakan tanggungjawab mereka untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan terus menderma kepada yayasan itu.

“Yayasan Eco World sangat menghargai sumbangan yang diberikan dan akan memastikan ia akan digunakan sebaiknya dalam membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari Penghargaan kepada penderma tabung yayasan itu di sini, hari ini.

Majlis Makan Tengah Hari itu dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Eco World Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Chang Khim Wah.

Antara program yang dilaksanakan yayasan itu adalah membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di negara ini.

Antara inisiatif baharu yang dijalankan yayasan itu adalah penajaan program ‘Empowered to Teach’ untuk pendidikan kanak-kanak Orang Asli.

Yayasan juga sudah memulakan projek perintis selama tiga tahun untuk meningkatkan prestasi akademik anak-anak di sekolah terpilih di Sarawak.

Lam Thye berkata, bantuan yang diberikan yayasan itu kepada orang kurang berkemampuan membabitkan program pendidikan, kesihatan dan bantuan am.

Katanya, untuk pendidikan, yayasan itu mahu membantu seberapa banyak kanak-kanak untuk mendapatkan akses kepada pendidikan.

“Setakat ini, seramai 3,000 pelajar menerima bantuan pendidikan yang mana 2,400 membabitkan murid sekolah rendah dan selebihnya pelajar sekolah menengah,” katanya.

Untuk sektor kesihatan, Yayasan Eco World membantu menyalurkan bantuan kewangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi perkhidmatan dialisis kepada orang miskin.

Bantuan am pula membabitkan pembiayaan kesihatan kepada individu serta sumbangan bagi mengurangkan beban akibat bencana alam dan sebarang kecelakaan.

Berita Harian X