Ahad, 30 September 2018 | 2:16pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. - Foto Nurul Shafina Jemenon
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Peralihan jawatan PM perlu dibuat secara rasional

ALOR SETAR: Peralihan jawatan Perdana Menteri perlu mengambil kira keadaan ekonomi dan keselamatan negara berserta faktor lain supaya pentadbiran negara dapat diurus dengan baik dan lancar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pucuk pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan yang rasional mengenai perkara itu berikutan lebih memahami situasi negara.

“Memang dulu diwar-warkan selepas dua tahun Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, jawatan itu akan diserahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi apabila kita mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) barulah kita boleh membuat keputusan rasional.

“Contohnya sebelum PH memerintah kita mungkin sangka keadaan ekonomi hanya teruk dalam 20 peratus saja, sekarang baru kita nampak ia sebenarnya jauh lebih teruk , jadi biarlah pucuk pimpinan PH tentukan kerana mereka mempunyai maklumat terperinci keadaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang supaya Dr Mahathir diberi peluang terus kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh penggal pentadbiran selama lima tahun.

Amiruddin berkata, usaha beberapa pihak termasuk Anwar yang ingin mengambil alih jawatan Perdana Menteri secepat mungkin adalah satu tindakan yang tidak mengikut moral politik yang sepatutnya.

Bagaimanapun Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, beliau yakin Dr Mahathir akan memegang kepada janjinya untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar dan peralihan itu tetap akan berlaku seperti yang dipersetujui dalam PH.

Terdahulu, Amiruddin merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke enam Persatuan Kontraktor Bumiputera F (PERKOBF) Malaysia Cawangan Negeri Kedah di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Berita Harian X