Selasa, 25 September 2018 | 3:53pm
PEGUAM bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEGUAM bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Shafee tidak baca Billion Dollar Whale dengan teliti'

KUALA LUMPUR: Penulis buku Billion Dollar Whale, Tom Wright, menepis dakwaan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa buku itu membersihkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak daripada pertuduhan.

Wright berkata Muhammad Shafee mendakwa pendedahan buku kontroversi itu membersihkan anak guamnya daripada salah laku kerana Najib ditipu oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Tidak masuk akal, Muhammad Shafee tidak membaca buku dengan teliti,” katanya dalam temu bual bersama stesen radio, BFM Breakfast Grille, hari ini.

Beliau merujuk dakwaan Muhammad Shafee berhubung buku Billion Dollar Whale sebagai sesuatu yang menarik jika ia boleh digunakan sebagai bukti.

Muhammad Shafee turut mendakwa buku itu mengesahkan Jho Low kemungkinan mengelirukan pihak berkaitan.

Wright berkata beliau dan rakan sekerja, Wall Street Journal, Bradley Hope, bersikap adil kepada Najib dalam buku itu kerana mengemukakan fakta bagaimana bekas Perdana Menteri itu tidak tahu apa yang berlaku dan hanya diketahui Jho Low.

Katanya, beliau juga tidak membebaskan Najib daripada sebarang pertuduhan.

“Najib mungkin tidak tahu bahawa RM4.5 bilion atau lebih dirampas daripada rakyat Malaysia tetapi beliau tahu ia dana politik.

“Semua asetnya dibersihkan termasuk rumah yang mereka diami, semua perniagaan di Amerika Syarikat, syarikat filem dan berlian merah jambu AS$27 juta dari Lorraine Schwartz, yang diperoleh Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) ,” katanya.

Wright mendakwa Najib berulang kali mengatakan bahawa wang itu derma daripada kerajaan Arab Saudi dan sudah dikembalikan.

“Tetapi wang itu kembali kepada syarikat offshore, Tanore Finance.

“Wang itu sama ada diberikan atau dipulangkan kepada Arab Saudi; wang itu datang daripada 1MDB melalui Tanore dan dipulangkan kepada Tanore. Wang itu juga digunakan bagi membeli barang kemas AS$27 juta untuk isteri Najib, Rosmah,” katanya.

Mengulas berhubung penulisan bukunya, Wright berkata ia bermula pada 2015 apabila berita transaksi kewangan yang membabitkan 1MDB yang ‘tidak masuk akal’ diutarakan.

Selepas penelitian lanjut, beliau mendapati wujud skandal besar membabitkan seorang Perdana Menteri.

“Kami menulis berita utama bagaimana 1MDB membayar lebihan untuk loji jana kuasa dan sebagai balasan, Tanjong Energy Holdings (Tanjong) dan Genting Berhad membayar sejumlah besar wang kepada Yayasan 1MDB. Ini adalah antara transaksi yang tidak masuk akal, ” dakwanya.

NOTA: Berita sebelum ini yang disiarkan dalam talian pada 25 September lalu yang merujuk kepada ‘Tan Chong’ pada perenggan terakhir sepatutnya merujuk kepada ‘Tanjong Energy Holdings’

Berita Harian X