Isnin, 24 September 2018 | 5:37pm
GAMBAR fail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto Iqmal Haqim Rosman
GAMBAR fail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Had usia untuk lindungi kanak-kanak

KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkahwinan kanak-kanak bawah umur perlu difikirkan dalam skop lebih luas membabitkan perlindungan, bukan semata-mata atas faktor mendirikan rumah tangga.

Katanya, cadangan menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun dilakukan bertujuan untuk melindungi kanak-kanak itu.

“Kita memikirkan kemungkinan yang akan terjadi sekiranya pasangan berkenaan berkahwin kemudian berpisah, apakah kesannya terhadap anak-anak mereka nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar kelmarin yang mahu had umur minimum perkahwinan diturunkan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki atas alasan anak sekarang terdedah kepada seks lebih awal.

Mujahid berkata, apa saja keputusan dilakukan oleh kerajaan berlandaskan pelbagai faktor.

“Kita kena fikir kesan. Bukannya hanya tahu ‘bising’ bila dinaikkan ke usia 18 tahun. Ini kerana apabila berlaku sebarang kemungkinan terhadap perkahwinan berkenaan, tidak ada pula undang-undang mampu menanganinya,” katanya.

Mujahid berkata pada hakikatnya had usia itu bukanlah suatu masalah untuk dizahirkan, lebih-lebih lagi Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak memberikan sebarang halangan terhadap perkara berkenaan.

Berita Harian X