Ahad, 23 September 2018 | 6:15pm
Bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. - Arkib NSTP
Bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. - Arkib NSTP

PH galakkan peminjam tak bayar - Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kurang sesuai dilabel sebagai tidak amanah memandangkan ada banyak faktor mereka gagal membayar balik termasuk terpengaruh dengan janji pembangkang dahulu yang kini menjadi kerajaan.

Bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata selain terpengaruh dengan janji politik, ada faktor lain yang menyebabkan mereka tidak melunaskan hutang contohnya masih tidak mendapat pekerjaan dan bekerja di bawah tahap kelulusan dimiliki.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada juga peminjam enggan membayar balik meskipun sudah mempunyai pendapatan tetap.

Shamsul berkata, pernah suatu ketika dahulu, aliran pusingan kewangan PTPTN merosot kerana ramai yang tidak mahu membayar balik pinjaman kerana terpengaruh dengan janji populis pembangkang ketika itu.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), ramai terpedaya kononnya “hutang PTPTN akan dihapuskan, kesannya aliran kewangan PTPTN begitu teruk disebabkan ramai tidak mahu membayar pinjaman kerana terpengaruh dengan janji pembangkang (ketika itu) untuk hapuskan hutang dan PTPTN”.

“Apabila ramai yang tidak membayar, dana berkurangan menyebabkan potongan sebanyak lima peratus kepada pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 15 peratus pinjaman pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terpaksa dilakukan.

“Ini satu daripada ‘jasa’ pembangkang ketika itu kepada rakyat kerana kutipan merosot sekitar RM50 juta sebulan iaitu hanya sekitar RM700 juta setahun ketika itu.

“Sedangkan PTPTN perlu mengutip semula pinjamannya sekurang-kurangnya RM900 juta setahun, itulah kesannya jika ramai yang tidak membayar hutang pinjaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, jika ditanya siapa sebenarnya yang tidak amanah, jawapan beliau tentulah kerajaan hari ini.

Kata Shamsul Anuar, ini kerana rakyat khususnya anak muda mengundi Pakatan Harapan (PH) disebabkan termakan janji manis mereka sewaktu kempen PRU-14 dan apabila janji tidak ditunai, itu sebenarnya yang dikatakan tidak amanah.

“Saya setuju jika usaha diperhebatkan supaya peminjam membayar hutang pinjaman mereka kerana itulah yang dilakukan oleh PTPTN sewaktu di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu meskipun ditentang kononnya zalim serta tidak menjaga anak muda.

“Semua itu dilakukan bagi memastikan aliran pusingan kewangan berjalan lancar demi kelestarian PTPTN selain dapat menyediakan dana secukupnya untuk hampir 200,000 pelajar baharu dan kira-kira 600,000 pelajar sedia ada yang sedang belajar di universiti.

“Setiap tahun PTPTN perlu menyediakan dana antara RM3 bilion hingga RM4 bilion untuk keperluan pembiayaan pendidikan bagi mengurangkan kebergantungan kepada institusi kewangan dan kutipan balik itu penting digunakan untuk membantu pelajar baharu,” katanya.

Beliau berkata keputusan kerajaan untuk melepaskan sekatan imigresen dianggap antara punca mengapa jumlah kutipan merosot dan menyebabkan bilangan mereka tidak membayar hutang sukar dikurangkan.

Ini kerana dasar itu menggalakkan mereka tidak membayar hutang, berbeza dengan kerajaan BN dahulu yang bukan sahaja memahami masalah peminjam malah melakukan pelbagai usaha bagi menggalakkan pembayaran balik.

Katanya, BN memberikan diskaun 10 peratus kepada peminjam yang membayar sekurang-kurangnya 50 peratus pinjaman atau kepada mereka membuat potongan gaji dan diskaun 20 peratus bagi yang membayar penuh baki hutang selain memudahkan proses bayaran balik.

“Kita juga melancarkan program “Jobmatching” iaitu program Nasional Blue Ocean Strategy ( NBOS ) atau kolaborasi dengan sektor swasta bagi membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada peminjam yang tidak mampu membayar pinjaman.

“Usaha itu jelas membuahkan hasil apabila rekod menjelang 2018 menunjukkan, PTPTN berjaya mengurangkan jumlah peminjam yang langsung tidak pernah membayar balik pinjaman manakala kutipan balik pinjaman turut meningkat daripada RM3.4 bilion pada tahun 2016 kepada RM3.9 bilion pada 2017 bersama dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi)," katanya.

Menurut Shamsul Anuar lagi, sebagai bekas Pengerusi PTPTN, beliau tidak bersetuju jika bayaran balik dimulai pada tangga gaji RM4,000 dan alasan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan kononnya data yang ada tidak lengkap menjadi punca ia tidak dilaksana adalah sekadar alasan semata-mata.

Berita Harian X