Sabtu, 22 September 2018 | 10:20pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) bersalaman dengan orang ramai semasa hadir Pesta Tanglung 2018 di puncak Bukit Bendera. - Foto Danial Saad
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) bersalaman dengan orang ramai semasa hadir Pesta Tanglung 2018 di puncak Bukit Bendera. - Foto Danial Saad

'Kurangkan caj perkhidmatan'

GEORGETOWN: Kementerian Kewangan hari ini meminta pengendali restoran dan kedai makanan untuk mengurangkan caj perkhidmatan supaya tidak membebankan rakyat.

Menterinya Lim Guan Eng berkata kadar caj perkhidmatan di restoran dan kedai makanan sebanyak 10 peratus adalah agak tinggi.

Katanya, kerajaan sekarang sudah memberikan banyak kelonggaran kepada mereka dan diharapkan mereka akan dapat mengurangkan kadar caj perkhidmatan itu.

“Saya berharap pengendali restoran dan kedai-kedai makanan dapat meneliti semula kutipan caj perkhidmatan mereka sebanyak 10 peratus kerana saya berpendapat kadar itu agak tinggi dan membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Pesta Tanglung di Bukit Bendera di sini hari ini.

Guan Eng berkata beliau faham akan kutipan caj perkhidmatan itu adalah bagi menampung bayaran gaji pekerja restoran dan kedai berkenaan tetapi kadar itu patut dikurangkan.

Beliau berkata, kerajaan banyak memberi kelonggaran seperti menaikkan nilai ambang ke RM1.5 juta ke atas makanan dan minuman, pengecualian cukai terhadap penjualan rokok di bawah nilai ambang RM500,000 dan pengecualian cukai kepada penyewaan warung kecil di kedai makanan.

“Saya ingin membuat secara baik-baik dan memohon supaya pengendali restoran dan kedai makanan dan minuman akan meneliti semula caj perkhidmatan mereka demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih mengakui bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyebabkan kenaikan harga barang tetapi tidak setinggi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata jumlah kutipan SST setahun berjumlah RM21 bilion, manakala jumlah kutipan GST berjumlah RM44 bilion jelas menunjukkan GST lebih membebankan rakyat.

“Impak sebenar pelaksanaan kebaikan SST berbanding GST akan diketahui setahun kemudian,” katanya.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Guan Eng akhirnya mengakui pelaksanaan SST menyebabkan kenaikan harga barang. – BERNAMA

Berita Harian X