Sabtu, 22 September 2018 | 6:30pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menunjukkan gambar keadaan kerosakan pada sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis akibat bencana ribut pada 17 September lalu. - Foto Hafizudin Mohd Safar
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menunjukkan gambar keadaan kerosakan pada sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis akibat bencana ribut pada 17 September lalu. - Foto Hafizudin Mohd Safar

TPM mahu sistem amaran awal bencana diperkemas

KANGAR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana memperkemaskan lagi sistem amaran awal bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Timbalan Perdana Menteri berkata apabila amaran dapat dikeluarkan lebih awal melalui medium seperti pembesar suara masjid, balai raya, telefon serta kunjungan rumah ke rumah, komuniti setempat dapat bertindak segera menyelamatkan keluarga, diri sendiri dan barangan berharga.

“Kadar penembusan telefon pintar di Malaysia sudah mencapai 70 peratus pada suku ketiga tahun lalu. Manakala kadar penembusan selular mudah alih dikatakan mencapai 131.8 peratus.

“Ini menunjukkan ramai pengguna mempunyai lebih daripada satu talian selular. Oleh itu penggunaan telefon bimbit dan platform media sosial harus dipertingkatkan lagi dalam mengeluarkan amaran awal bencana,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan di Kompleks Angkatan Pertahanan Awan (APM) petang tadi.

Pada majlis berkenaan tiga waris mangsa kemalangan yang maut akibat ribut dan 109 keluarga yang terjejas akibat bencana yang melanda negeri ini Isnin lalu menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Waris kepada Muhammad Hafiz Johari, Siti Asmah Abdul Khalid dan Muhammad Amirul Naim Aziz masing-masing menerima RM5,000 manakala 109 keluarga menerima RM500.

Pada majlis itu juga, Timbalan Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan RM507,000 bagi membaiki 48 sekolah yang turut terjejas akibat ribut yang melanda negeri ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat kediaman mangsa ribut, Ahmad Sugemy Halim yang rumahnya terjejas akibat ribut di Kampung Tertitip, dekat Kuala Perlis.

Beliau juga turut mengadakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Seri Perlis yang turut terjejas akibat bencana berkenaan serta mendengar taklimat daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail.

Berita Harian X