Sabtu, 22 September 2018 | 2:55pm
ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri
ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri

'Wajib patuhi undang-undang had umur minimum perkahwinan'

KUALA LUMPUR: Kerajaan berkuasa melaksanakan dasar penetapan had umur minimum perkahwinan kerana ia termasuk di bawah kategori taqyid al-mubah iaitu mengikat perkara yang harus dengan suatu maslahat bagi menegakkan keadilan dan bukan mengharamkan apa yang dihalalkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kaedah itu turut dasar beberapa negara Islam seperti Jordan, Syria termasuk negeri di Malaysia yang disokong oleh ulama seperti Syeikh Mustafa Siba’ie dan Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily bahawa penetapan had umur minimum perkahwinan menepati tujuan sebenar pensyariatan nikah.

Beliau berkata isu perkahwinan kanak-kanak bukanlah termasuk dalam perkara tsawabit yang tidak boleh berubah seperti akidah atau solat bahkan ia adalah perkara al-mutaghayyirat iaitu perkara furuk (cabang), boleh berubah dengan mengambil kira situasi semasa dan setempat.

Katanya, selepas mengambil kira pandangan ahli agama berhubung sesuatu isu, kerajaan dengan rasional dan kebijaksanaan boleh menetapkan suatu keputusan yang difikirkan lebih mendatangkan maslahat kepada rakyat dan rakyat dituntut mengikutinya.

“Hukum perkahwinan kanak-kanak hendaklah mengikuti undang-undang yang ditetapkan di dalam sesebuah negara, sekiranya hakim mengesahkannya, maka perkahwinan yang menepati syarat dan rukunnya adalah sah, tetapi jika undang-undang menetapkan had umur tertentu bagi seseorang untuk berkahwin, maka ia wajib dipatuhi.

“Kerajaan boleh dan perlu menggubal undang-undang yang lebih meraikan Maqasid Syariah dan menggabungkan antara nas syarak serta maslahah, iaitu institusi keluarga yang penuh belas kasihan serta cinta.

“Justeru, melihat kepada uruf serta adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan di bawah umur kecuali melihat kes tertentu sahaja,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mahu menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Kertas kerja mengenainya akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar serta Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan.

Zulkifli berkata keharusan perkahwinan perlu dilihat kepada kes tertentu contohnya, dalam kes perkahwinan remaja terlanjur dan khuatir mengandung luar nikah yang boleh menyebabkan anak terbabit ternafi nasabnya.

Beliau berkata walaupun hukum berkahwin dengan gadis muda adalah sah, tetapi jika melihat maksud dan matlamat perkahwinan, maka jelas menunjukkan sewajarnya kanak-kanak yang dikahwini mestilah dalam usia bersedia dari sudut fizikal untuk hubungan kelamin selain memahami kesan yang berlaku selepasnya seperti perceraian, mengandung dan nafkah.

“Sekiranya berlaku perkahwinan, maka hak kanak-kanak untuk belajar dan mendapat pendidikan mesti diberikan khususnya pengetahuan mengenai ilmu fardhu ain yang berkait dengan kesihatan, kebersihan diri dan ilmu munakahat berkaitan hak suami isteri.

“Ini kerana ulama menetapkan lebih 200 hukum yang berkait apabila suatu hubungan seksual berlaku, memandangkan istimta’ secara halal bersama pasangan adalah matlamat perkahwinan justeru matlamat atau maqasid itu diikat dengan tanggungjawab berat serta ilmu pengetahuan mencukupi.

“Dalam isu ini, wali hendaklah memainkan peranan penting dan mengetahui sebarang bentuk risiko supaya kemaslahatan perempuan yang berkahwin terbela dengan sebaiknya dan perkahwinan itu juga tidak menzalimi kanak-kanak terbabit,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya keputusan sepakat dicapai dalam kalangan kaum keluarga wanita dan kebenaran daripada kadi atau hakim syarie sebelum perkahwinan dilakukan.

Ini kerana, katanya meletakkan amanah kepada seseorang yang tidak mampu untuk menanggungnya atas faktor fizikal, mental dan emosi adalah satu bentuk kezaliman selain boleh merosakkan kerukunan rumah tangga serta menyumbang kepada fenomena perceraian, ibu tunggal, tuntutan fasakh mahu pun nusyuz.

"Keluarga bahagia akan melahirkan masyarakat yang harmoni, seterusnya membentuk negara yang bersifat Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur," katanya.

Berita Harian X