Rabu, 19 September 2018 | 3:13pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Sharbini Suhaili. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Sharbini Suhaili. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Bekalan elektrik guna RE di Sarawak akan diperluas

KUALA LUMPUR: Sarawak Energy Bhd (SEB) menyasarkan untuk memperluaskan liputan bekalan elektrik menggunakan tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada masyarakat luar bandar di Sarawak menjelang tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Sharbini Suhaili, berkata pihaknya sedang berusaha untuk mencapai sasaran berkenaan dengan mempercepatkan hubungan bekalan kepada grid termasuk kepada sistem penjana kuasa grid bersendirian.

“Sistem jana kuasa grid bersendirian ini akan dikuasakan terutamanya oleh jana kuasa solar dan jana hidro mini atau mikro untuk di kawasan pedalaman.

“Ketika ini, kami menjangka untuk mengekalkan lebih daripada 60 peratus jana kuasa hidro dalam jana kuasa bercampur dan mahu menambah lebih banyak tenaga alternatif seperti solar dan biomas menjelang 2025.

“Penggunaan jana kuasa hidro yang tinggi dalam jana kuasa bercampur membolehkan kami menawarkan tarif terendah dalam ASEAN. yang mana harga tarif kami adalah 38 peratus lebih rendah dari Semenanjung Malaysia dan 100 peratus dari Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi forum Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik 2018 (CEPSI 2018), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sesi itu turut disertai Ketua Pengurusan Product BMW i, BMW Group, Dr Alexander Kotouc; Pengarah Urusan Global Industri Tenaga, Alam Sekitar dan Utiliti IBM, Brad Gammons dan Ketua Ahli Ekonomi dan Pengarah Urusan Institut Ekonomi Tenaga Jepun, Dr Ken Koyama.

Setakat tahun lalu, liputan bekalan elektrik untuk masyarakat luar bandar di Sarawak adalah sebanyak 91 peratus.

Ditanya mengenai penggunaan teknologi digital dalam industri bekalan elektrik, Sharbini berkata penggunaan teknologi seperti data raya boleh menjadikan operasi syarikat lebih cekap dan berkesan.

“Sebagai contoh, antara tumpuan yang perlu kami beri perhatian ialah dalam teknologi kawalan dan pemantauan jarak jauh. Teknologi seumpama ini mampu mengurangkan kos operasi.

“Selain itu, bagi memastikan syarikat sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa, adalah penting untuk menggaji individu yang tepat dan mewujudkan kumpulan kecil yang akan meneliti pelbagai teknologi semasa yang bermanfaat kepada syarikat,” katanya.

Berita Harian X