Sabtu, 15 September 2018 | 11:33pm
GAMBAR fail, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohamaddin Ketapi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
GAMBAR fail, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohamaddin Ketapi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kes culik tidak jejas industri pelancongan Sabah

KOTA KINABALU: Kes penculikan di Semporna baru-baru ini tidak menjejaskan industri pelancongan Sabah, kata Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Mohammaddin Ketapi.

Katanya, pusat pelancongan termasuk pulau peranginan di Sabah khususnya di daerah terbabit masih lagi menerima kehadiran pelancong.

“Insiden penculikan itu tidak menjejaskan industri pelancongan Sabah dan kehadiran pelancong masih ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program “Installation Art By the Bay”, di sini hari ini.

Mohammaddin berkata kementeriannya yakin sasaran kehadiran pelancong ke Sabah masih tetap boleh dicapai meskipun ada insiden seumpama itu.

Menurut beliau, insiden itu tidak menjejaskan industri pelancongan Sabah secara keseluruhan kerana ia hanya berlaku di tempat tertentu di pantai timur negeri dan tidak menghalang kedatangan pelancongan ke kawasan pantai barat Sabah.

Beliau berkata kementerian akan memberi penjelasan kepada pelancong bahawa insiden seumpama itu jarang berlaku bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan mereka untuk terus melancong ke Sabah khususnya di Semporna.

Dalam pada itu, Mohammaddin yang juga Ahli Parlimen Silam tidak menolak kemungkinan insiden penculikan itu berlaku secara dalaman dan tidak membabitkan pihak luar.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ia (penculikan) adalah isu jenayah dan ini kes polis serta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Kita mempunyai kawal selia yang cukup daripada ESSCOM. Mungkin (penculikan) ini berlaku secara dalaman dan bukan dari luar masuk (ke perairan Sabah) kerana jika (orang) luar, mereka boleh ditahan oleh agensi maritim dan ESSCOM,” katanya.

Selasa lalu, dua lelaki yang juga kru bot nelayan diculik sekumpulan lelaki di perairan Pulau Gaya Semporna kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Kedua-dua mangsa berusia 30-an sedang menangkap ikan di perairan itu ketika kejadian berlaku. – BERNAMA

Berita Harian X