Sabtu, 1 September 2018 | 8:50pm
MOHAMED Azmin ketika berucap pada majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Isu kemasukan warga China dalam Forest City - Azmin

KUALA LUMPUR: Pembangunan Forest City akan diteliti semula kerana terma penjualan unit kediamannya didapati tidak memberi sebarang keuntungan kepada negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata langkah penilaian semula projek membabitkan pelaburan AS$100 bilion (RM411 bilion) itu juga kerana ada isu berkaitan kemasukan warga China secara besar-besaran ke Johor.

“Perlu difahami bahawa keputusan kerajaan untuk meneliti semula pembangunan Forest City kerana transaksi pembelian unit kediaman projek ini dilaksanakan di China, bukan Johor atau mana-mana tempat di Malaysia.

“Mereka mempunyai program khas diberikan Kerajaan China, yang menggariskan jika rakyatnya membuat sejumlah pelaburan tertentu akan mendapat manfaat unit kediaman di Forest City secara percuma.

“Oleh itu, sudah pasti kita tidak biarkan perkara seperti ini berlaku kerana pembayaran cukai dan pelaksanaan transaksi, masing-masing dilaksanakan di China.

“Ia langsung tidak memberikan manfaat kepada kita, khususnya sektor ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, hari ini.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hadir pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama Mohamed Azmin (dua dari kanan) dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri). - Foto Eizairi Shamsudin

Mohamed Azmin berkata, kebimbangan lain ketika ini turut terarah kepada hasrat Kerajaan China membawa masuk 700,000 rakyatnya ke negara ini dengan memiliki kediaman di Forest City.

Katanya, sebarang pelaburan asing dari China sepatutnya menjana kesan limpah ekonomi terhadap penggiat industri tempatan di Malaysia, berbanding terus memeterai perjanjian ‘berat sebelah’ sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Berita Harian X