Khamis, 30 Ogos 2018 | 11:41pm
Bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak ketika solat hajat pada majlis tahlil dan solat hajat sempena menyambut hari kemerdekaab negara yang ke 61 di Sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keranat. - Foto Aswadi Alias
Bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak ketika solat hajat pada majlis tahlil dan solat hajat sempena menyambut hari kemerdekaab negara yang ke 61 di Sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keranat. - Foto Aswadi Alias

Harga barang akan naik berganda kerana SST - Najib

KUALA LUMPUR: Rakyat dijangka akan dibebankan dengan kenaikan berganda harga barangan apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mula dilaksanakan Sabtu ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ada beberapa barangan yang dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus, turut disertai dengan cukai perkhidmatan enam peratus, menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga kepada rakyat.

“Ada sesetengah barang kesannya berganda, maknanya 10 peratus bagi barangan, tapi servis, contohnya perkhidmatan lori juga dikenakan enam peratus, akhirnya rakyat akan tanggung kenaikan yang agak besar kesannya.

“Tayar pula jika sebiji kira-kira RM400 hingga RM500, kalau 10 peratus (cukai jualan) dah RM50, pasang pula kena enam peratus (cukai perkhidmatan), kalau empat biji tayar berapa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tahlil dan Solat Hajat Sempena Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Ke-61 di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pemantau Malaysia Baharu yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, Mohd Zahid Mahmood.

Najib berkata, kejatuhan nilai mata wang Ringgit yang berlaku sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan juga akan memberi impak pada harga barang.

“Mata wang kita sekarang dah RM4.13, sebelum pilihan raya RM3.85. Ada orang kata kalau Najib ada, nilai ringgit akan jatuh tapi sekarang Najib tak ada? Itu masing-masing jawablah,” katanya dalam nada sinis.

Pada 20 Ogos lalu, Dewan Negara meluluskan semua RUU berkaitan SST merangkumi RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

RUU Cukai Jualan dan Perkhidmatan 2018 yang menggantikan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diluluskan tanpa pindaan menerusi undi sebulat suara.

Berita Harian X