Khamis, 30 Ogos 2018 | 1:33pm
TOKOH sejarawan negara, Prof Tan Sri Dr Khoo Kay Kim. - Foto Supian Ahmad

Tambah baik sukatan Sejarah, terap elemen patriotisme

BANGI: Kementerian Pendidikan perlu merombak sukatan subjek Sejarah di sekolah dengan memasukkan unsur patriotisme dan pembentukan Malaysia.

Tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata ramai generasi muda masih gagal menjiwai semangat patriotisme kerana elemen itu tidak diterapkan dalam mata pelajaran Sejarah.

Katanya, mereka hanya didedahkan sejarah ringkas mengenai perjuangan beberapa tokoh menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan hanya untuk menjawab soalan peperiksaan.

Beliau berkata, ini menyebabkan pelajar hanya belajar untuk lulus peperiksaan, sedangkan sepatutnya sukatan subjek berkenaan turut melahirlan pelajar menjiwai semangat patriotisme.

“Sejarah terpenting negara juga tidak tercatat dalam silibus sejarah sekolah, iaitu tarikh utama yang membawa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Ramai yang tidak tahu Perjanjian Malaysia yang membawa kepada pembentukan Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963.

“31 Ogos ialah Hari Kebangsaan, manakala 16 September ialah Hari Malaysia. Ini perlu dijelaskan dalam silibus sejarah untuk kepentingan negara,” katanya kepada NSTP, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Terdahulu Kay Kim menjadi panelis program kemerdekaan anjuran UKM yang turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Kay Kim berkata, jika elemen patriotisme tidak diserapkan dalam silibus sejarah, dibimbangi makin lama rakyat negara ini jahil mengenai kemerdekaan dan lupa perjuangan tokoh kemerdekaan.

“Sistem pendidikan adalah medium terpenting untuk menerapkan semangat patriotisme, kenegaraan dan pemahaman berhubung pembentukan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Noor Azlan, berkata UKM menggunakan slogan ‘Pendaulat Amanah Negara’ antaranya untuk menerapkan semangat patriotisme kepada pelajar universiti awam itu.

“Ini sejajar dengan penubuhan UKM untuk mengisi kemerdekaan negara. Kami sentiasa menerapkan elemen patriotisme dalam kalangan pelajar,” katanya.

Berita Harian X