Selasa, 28 Ogos 2018 | 5:28pm
PENDAKWAH Bebas, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias. - Foto Faiz Anuar
PENDAKWAH Bebas, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias. - Foto Faiz Anuar

Kerajaan Perak nafi kenyataan Ustaz Kazim

IPOH: Kerajaan Perak menafikan ada membuat tawaran untuk mengambil alih Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah milik penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias bagi menangani masalah kewangan institut pendidikan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, berkata Pusat Pendidikan Al Barakah pun tidak pernah menawarkan kepada kerajaan negeri atau Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mengambil alih unit tahfiz sekolah berkenaan.

Katanya, pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah juga tidak pernah menghubungi atau menemui beliau dan JAIPk bagi menyelesaikan masalah dihadapi pusat pendidikan itu walaupun kerajaan negeri sudah menawarkan bantuan kepada mereka.

“Saya pun pelik dan keliru dengan kenyataan yang dikeluarkan itu. Saya atau kerajaan negeri tidak pernah membuat tawaran seperti itu (mengambil alih unit tahfiz).

“Saya juga sudah membuat semakan dengan Pengarah JAIPk (Datuk Mohd Yusop Husin) pagi ini dan beliau juga menafikan JAIPk atau pegawainya ada membuat tawaran, malah tawaran (untuk ambil alih) pun tidak pernah diterima oleh kerajaan negeri mahupun JAIPk,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Kazim yang disiarkan dalam akhbar hari ini, yang menyerahkan Unit Tahfiz Darul Barakah kepada Pusat Pengajian Al-Uliya untuk diuruskan, bermula 1 September ini, susulan tidak lagi mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan.

Mohd Kazim dilaporkan berkata, beliau tidak pernah ditemui atau dipanggil untuk membincangkan isu kerajaan negeri mahu mengambil alih unit tahfiz berkenaan walaupun sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan sebelum ini.

Beliau dipetik sebagai berkata, banyak pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama, membantu dan menderma, termasuk mahu mengambil alih apabila isu mahu menjual unit tahfiz itu menjadi viral, tetapi apabila kerajaan negeri mengumumkan untuk membantu, pihak yang menawarkan bantuan itu membuat keputusan menarik diri.

Asmuni berkata, pihak pengurusan pusat pendidikan itu sepatutnya bertemu kerajaan negeri atau JAIPK jika ingin mendapatkan bantuan kerana membuat kenyataan di media semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, terserah kepada pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah jika mahu menjual atau menyerahkan mana-mana unit pusat pendidikan itu kepada pihak lain kerana ia adalah milik institusi swasta.

“Ini sekolah swasta, mereka bertanggungjawab sendiri (terhadap pengurusan dan masa depan institusi itu). Ketika sekolah itu ditubuhkan pun mereka tidak bincang dengan kerajaan negeri.

“Sebelum ditubuhkan, saya percaya mereka mesti sudah ambil kira pelbagai aspek termasuk keupayaan kewangan, bilangan pelajar, tenaga pengajar yang diperlukan serta prasarana harus disediakan, baru sekolah itu ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata, institusi pendidikan tahfiz persendirian lain juga ada menghadapi masalah sama dan percaya jika sebelum ini ia mampu ditangani, maka sudah tentu ia sepatutnya boleh ditangani juga sekarang.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak pengurusan pusat pendidikan berkenaan tidak lagi membuat kenyataan yang tidak benar, sambil mempersoalkan motif mereka mengeluarkan kenyataan seperti itu sama ada ia semata-mata untuk publisiti.

Berita Harian X