Isnin, 27 Ogos 2018 | 3:30pm
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto NSTP
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto NSTP

Kerajaan timbang had minimum umur perkahwinan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji sama ada had umur minimum perkahwinan yang mahu dinaikkan ke 18 tahun itu satu mandatori atau ada pengecualian tertentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana kerajaan sedang mengkaji kesan penetapan umur itu dari segi perundangan dan sosial.

"Contohnya, jika ‘total ban' had umur dikuatkuasakan dan terdapat kes kanak-kanak yang berkahwin, perkahwinan itu tidak dapat didaftarkan.

"Ketika ini, kanak-kanak terutama kanak-kanak perempuan tidak mempunyai perlindungan di bawah undang-undang bagi keganasan rumah tangga, hak untuk nafkah, harta sepencarian dan sebagainya,” katanya dalam sesi soal jawab di sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang meminta kerajaan menyatakan langkah mengekang rakyat daripada terbabit dengan perkahwinan bawah umur atau perkahwinan kanak-kanak.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, dalam konteks itu, kerajaan juga perlu mengambil kira isu-isu sosial yang berkaitan dengan gejala seks bawah umur seperti kehamilan luar nikah dan kelahiran anak tidak sah taraf.

Beliau berkata, kerajaan perlu meneliti semua aspek sebelum memutuskan mengenai had umur ini.

Sementara itu, mengulas isu berkaitan katanya kerajaan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang menggubal garis panduan untuk memperketatkan kelulusan permohonan perkahwinan bawah umur.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kepentingan kanak-kanak yang terbabit di ambil kira termasuk aspek kesihatan, pendidikan dan sosioekonomi.

"Pada masa ini, perkahwinan bawah umur dibenarkan dari segi perundangan bagi perkahwinan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam serta perkahwinan mengikut adat," katanya.

Beliau berkata, pengukuhan proses pentadbiran sebegini juga boleh dipertimbangkan bagi perkahwinan bahawa umur dalam kalangan bukan Islam.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya sedang merancang beberapa siri perundingan untuk menetapkan had umur perkahwinan.

“Bagi perkahwinan orang Islam, kita mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Peguam Negara, JKSM dan Majlis Agama Islam setiap negeri manakala untuk perkahwinan adat peribumi di Sabah dan Sarawak, perjumpaan bersama wakil adat dan Majlis Adat Sabah dan Sarawak.

“Bagi perkahwinan bukan Islam, perjumpaan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Peguam Negara dan wakil-wakil agama manakala untuk perkahwinan adat Orang Asli, perbincangan lanjut bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.

Berita Harian X