Ahad, 26 Ogos 2018 | 10:35am
PENGAYUH solo 10,000km ke Makkah, Suliman Abd Lah, ketika menunaikan umrah.
PENGAYUH solo 10,000km ke Makkah, Suliman Abd Lah, ketika menunaikan umrah.
PENGAYUH solo 10,000km ke Makkah, Suliman Abd Lah menyambut Aidilfitri di Tanah Suci.
PENGAYUH solo 10,000km ke Makkah, Suliman Abd Lah menyambut Aidilfitri di Tanah Suci.
SULIMAN Abd Lah, 47, selamat sampai di Ratchaburi, Thailand pada hari kesembilan dalam misi Kembara Kayuhan solo 10,000 kilometer ke Makkah.
SULIMAN Abd Lah, 47, selamat sampai di Ratchaburi, Thailand pada hari kesembilan dalam misi Kembara Kayuhan solo 10,000 kilometer ke Makkah.

'Puas walaupun tak dapat tunai haji'

KUBANG PASU: "Saya reda walaupun tidak dapat menunaikan haji namun Allah memberi peluang saya menunaikan umrah pada Ramadan baru-baru ini," kata pengayuh basikal solo 10,000 kilometer (km) ke Makkah, Suliman Abd Lah.

Suliman, 48, berkata dia yang sepatutnya menunaikan haji pada 17 Julai hingga 31 Ogos ini terpaksa pulang lebih awal selepas kerajaan Arab Saudi tidak meluluskan visa haji kepada pengayuh basikal berikutan kebimbangan ancaman Daesh.

Berjaya berkayuh selama 133 hari untuk sampai ke Makkah, dia berkata, biarpun tidak ditakdirkan menunaikan haji namun dikurniakan dengan sejuta pengalaman yang jarang dilalui oleh orang lain.

"Sepanjang kayuhan ini, saya belajar mengenal sifat tawakal kepada Allah. Bermula kayuhan dari Changlun ke Thailand pada 8 April lalu... pelbagai dugaan ditempuhi termasuklah berdepan dengan makhluk ghaib di beberapa masjid di negara jiran berkenaan.

"Di Myanmar pula saya terpaksa melakukan teknik penyamaran berlakon seperti orang sana dengan memakai bedak tanaka di muka dan badan demi menjaga keselamatan diri sehinggalah saya rasa nyawa seperti di hujung tanduk apabila melalui kawasan pertempuran antara puak dengan tentera Myanmar... bunyi berbalas tembakan jelas kedengaran.

“Malah, saya pernah disekat oleh kumpulan samseng di sebuah negara yang mahu meminta wang kononnya sebagai perlindungan tetapi dengan dengan nasihat dan tunjuk ajar daripada rakan yang berpengalaman, saya berjaya membuatkan kumpulan samseng terbabit merasa kasihan dan melepaskan saya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan simbolik tiba ke tanah air di Changlun, di sini, petang semalam.

Dia yang tinggal di Taman Desa Aman, Kulim, dekat sini melakukan simbolik tiba ke tempat asal permulaan kayuhannya di Changlun petang semalam disambut oleh penaja dan ahli keluarga.

Suliman yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Unit Elektrik dan Elektronik Tol Plaza Jambatan Pulau Pinang berkata, dia juga pernah ditahan kerana disyaki sebagai kumpulan pengganas yang menyamar sebagai pengayuh basikal.

Suliman bertolak pulang ke Malaysia menerusi penerbangan dari Abu Dhabi dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi kelmarin.

"Saya disoal siasat lebih dua jam sebelum dilepaskan... siasatan itu benar-benar memberi tekanan kepada mental sehingga saya menyangka akan dibelasah dengan teruk tetapi bersyukur kerana mereka tidak menyentuh saya.

"Ini semua berkat, Selain itu, saya mengamalkan surah Al Baqarah ayat satu hingga lima, ayat kursi dan surah Al Baqarah ayat 284 hingga 286 sebagai pendinding diri sehingga kayuhan saya dipermudahkan," katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu juga berhasrat untuk menulis buku mengenai pengalamannya berkayuh di Thailand, Myanmar, India, Bangladesh, Pakistan dan Arab Saudi dan Oman sebagai penghargaan kepada PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan penaja lain.

"Biarpun baru sahaja pulang, saya kini sudah menerima beberapa jemputan untuk berkongsi pengalaman di syarikat lain dan sekolah sebagai motivasi mengenai kejayaan kayuhan saya ini.

"Lebih membanggakan, masyarakat luar terutama negara Islam amat mengenali dan mengagumi Tun Dr Mahathir Mohamad. Apabila saya memberitahu berasal dari Malaysia...mereka terus menyebut nama Dr Mahathir dan melayan saya dengan baik," katanya dalam nada bangga.

Berita Harian X