Sabtu, 25 Ogos 2018 | 11:19am

Floria Diraja Putrajaya penanda aras industri landskap negara

PUTRAJAYA: Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2018 (Floria Diraja Putrajaya 2018) kini bukan saja dikenali sebagai produk pelancongan, malah acara ikonik yang menjadi penanda aras bagi industri landskap dan hortikultur negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata penganjuran festival yang masuk tahun kesepuluh itu turut memperkukuhkan lagi imej Putrajaya sebagai bandar dalam taman, selain memberi manfaat kepada rakyat untuk menikmati keindahan alam sekitar.

Dr Wan Azizah berkata, Kementerian Wilayah dan Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku penganjur festival berkenaan semakin giat berusaha untuk meletakkan Putrajaya sebagai salah satu destinasi pada peta festival bunga-bungaan dunia.

"Usaha berterusan ini sudah membuahkan hasil dengan pencapaian 10 anugerah yang diterima mereka, simbolik dengan sambutan ulang tahun kesepuluh mereka.

"Kita berhasrat agar Floria menjadi setaraf Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof, Belanda setiap tahun, yang menerima anggaran sejuta pengunjung setiap kali diadakan dari lebih 100 negara," katanya.

Wan Azizah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018 di Anjung Floria, Presint 4 di sini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2018. Turut berkenan berangkat ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Majlis turut dihadiri Menteri Wilayah, Khalid Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Dr Wan Azizah berkata, pengiktirafan terbaharu yang diperoleh Floria adalah pelantikan ke Majlis Pameran Bunga Asia (CAFE) yang ditubuhkan di Korea Selatan, satu penghormatan kepada Floria yang diakui sebagai bunga dan taman terbesar di rantau ini.

Floria Diraja Putrajaya 2018 dengan tema 10 Kegemilangan Floria diadakan selama sembilan hari bermula hari ini.

Ia menghimpunkan lebih 400,000 pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan daripada pelbagai spesies dan kultivar dalam pelbagai reka bentuk landskap.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika majlis perasmian Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2018 di Presint 4, Putrajaya, turut kelihatan Menteri Wilayah, Khalid Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd, Haslinda Khalid. - Foto Mohd Fadli Hamzah
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika majlis perasmian Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2018 di Presint 4, Putrajaya, turut kelihatan Menteri Wilayah, Khalid Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd, Haslinda Khalid. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X