Jumaat, 17 Ogos 2018 | 6:16pm
EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian dan ADUN Sentosa, Gunarajah George (kanan) melihat notis rahan penutupan premis dan perberhentian operasi kilang.

Rampas tanah pemilik degil lakukan pembakaran

SHAH ALAM: Pemilik tanah yang dikesan kerap melakukan pembakaran terbuka di Selangor berdepan tindakan undang-undang, termasuk tanah mereka dirampas.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian, berkata kerajaan negeri sudah tidak boleh bertolak ansur dengan pemilik tanah yang terus berdegil melakukan pembakaran terbuka walaupun sudah banyak kali diberikan amaran.

“Sebagai contoh, isu pembakaran terbuka pemilik tanah di Kampung Johan Setia, yang berlaku pada saban tahun. Saya terkejut apabila dimaklumkan isu kebakaran tanah gambut di kawasan ini sudah berlarutan sejak 15 tahun dahulu.

“Kita sedang mengenal pasti pemilik tanah yang melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu. Selepas itu kita akan putuskan sama ada untuk dakwa mereka di mahkamah atau rampas tanah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, beliau akan mencadangkan beberapa mekanisme baharu dalam mesyuarat EXCO bagi mengatasi isu pembakaran terbuka di negeri ini.

“Kebanyakan petani yang membakar tanah gambut di situ bukannya pemilik tanah. Kebanyakan pemilik tanah hanya menyewakan kepada penyewa untuk tujuan pertanian.

“Selain itu, kebanyakan tanah ialah pusaka turun temurun, jadi ada banyak penama. Malah, mungkin ada dalam kalangan penama sudah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain. Sebab itu adalah penting untuk mewujudkan mekanisme baharu untuk atasi isu ini,” katanya.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan operasi pembenihan awan (OPA) bagi memadamkan kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun.

Bee Yin berkata, ia diharap dapat dilakukan dalam usaha memadam kebakaran tanah gambut seluas 50 hektar yang berlarutan sejak Isnin lalu.

Berita Harian X