Jumaat, 17 Ogos 2018 | 4:31pm
Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Aziz Abdullah (dua dari kanan) merasmikan Majlis Mega Toolbox 2018 dan Majlis Penghargaan Bagi Pencapaian Projek Lebuhraya Putrajaya - Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) di pejabat tol Maju Expressway Sdn Bhd, Putrajaya. - Foto Samadi Ahmad
Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Aziz Abdullah (dua dari kanan) merasmikan Majlis Mega Toolbox 2018 dan Majlis Penghargaan Bagi Pencapaian Projek Lebuhraya Putrajaya - Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) di pejabat tol Maju Expressway Sdn Bhd, Putrajaya. - Foto Samadi Ahmad

MEX II terima anugerah SHASSIC

CYBERJAYA: Syarikat konsesi Maju Expressway II Sdn Bhd (MEX II), menjadi konsesi lebuh raya pertama menerima Anugerah Cemerlang Bagi Audit Penilaian Pematuhan Perundangan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja 2017, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) LLM, Datuk Seri Aziz Abdullah, berkata anugerah itu diberi berdasarkan penyertaan MEX II dalam pematuhan program Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan Lebuhraya (SHASSIC) yang diperkenalkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Beliau berkata, projek MEX II dianugerahkan penarafan lima bintang kerana berjaya membuktikan komitmen dalam mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak projek.

“Penarafan ini bukanlah sesuatu yang mustahil, malah perlu diikuti oleh syarikat konsesi lain melalui komitmen terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mega Toolbox 2018 dan Majlis Penghargaan Bagi Pencapaian Projek Lebuhraya Putrajaya -Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan MEX II, Mohd Faiq Abu Said; Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju, Datuk Seri Mohd Fauzi Yon dan Pengarah Teknikal MEX II, Richard Whitehead.

Seramai 480 pekerja menyertai program yang dianjurkan secara kerjasama MEX II dan LLM yang diadakan di Ibu Pejabat Maju Expressway (MEX) bertujuan mempromosikan pematuhan terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan serta mendidik pekerja bagi mematuhi piawaian ditetapkan pengurusan.

Selain anugerah SHASSIC, beberapa anugerah turut disampaikan iaitu Anugerah Pekerja Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan dan Keselamatan (KKKP) (sesi Mei- Julai 2018), Anugerah 1.5 Milion Man-hours without Lost Injury (LTI) serta Anugerah Cemerlang Bagi Audit Penilaian Pematuhan Perundangan KKP 2017 kepada 25 pekerja, kontraktor dan subkontraktor yang terbabit dalam pembinaan MEX II.

Aziz berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), sektor pembinaan mencatat angka kematian tertinggi sebanyak 32 kes kematian sehingga April tahun ini berbanding sektor pekerjaan lain.

Menurutnya, berdasarkan angka kematian tertinggi sejak 2016, sektor pembinaan masih mempunyai ruang untuk dibaik pulih serta diperbaiki bagi mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat.

Sementara itu, Whitehead berkata, projek MEX II Putrajaya-KLIA sepanjang 18 kilometer itu dimulakan pada pertengahan Julai 2017 dan dijangka siap pada penghujung Oktober 2019.

Menurutnya, pembinaan lebuh raya itu kini mencapai tahap 60 peratus siap membabitkan kos berjumlah RM1.3 billion dan dijangka selesai mengikut jadual.

“Menyedari akan kepentingan kelestarian alam sekitar, kami juga tidak mengabaikan aspek ini, malah turut mengekalkan kehijauan di sepanjang lebuh raya ini,” katanya.

Berita Harian X