Khamis, 16 Ogos 2018 | 4:21pm
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, kementerianya akan mengaktifkan proses pembenihan awan sekiranya jerebu yang melanda teruk serta kehadiran awan yang mencukupi bagi mengaktifkan proses pembenihan supaya kualiti udara kembali pulih. - Foto Faliq Lajim

Pembenihan awan dibuat jika jerebu makin kritikal - Menteri

SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) diarah bersiap sedia melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan jerebu melanda negara ketika ini masih berada dalam keadaan kritikal.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, kementerian akan mengaktifkan proses pembenihan awan bagi memastikan kualiti udara kembali pulih.

"Kita akan merujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan supaya melakukan pembenihan awan.

"Jerebu yang melanda negara kini disebabkan pembakaran terbuka yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia selain faktor pembakaran terbuka di sekitar kawasan Johan Setia.

"Oleh itu, kita akan bersiap sedia membuat pembenihan awan namun ia bergantung kepada keadaan cuaca," katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Bee Yin berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman web APIMS kini menggunakan penggunaan teknologi kadar ukuran IPU 2.5 mikrometer (PM2.5).

"Bacaan ini akan dikemas kini dan ia lebih tepat berbanding peralatan jenis PM10 yang digunakan sebelum ini," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak sekolah mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa memantau bacaan IPU di laman web APIMS.

"Maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini di seluruh negara boleh diperoleh menerusai laman web apims.doe.gov.my atau memuat turun aplikasi MyIPU di Google Playstore dan Apple App Store," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut berkaitan pembakaran terbuka di Johan Setia, kata Bee Yin, rancangan pembenihan awan seperti yang dirancang dalam lawatannya semalam terpaksa dibatalkan.

"Ia berikutan keadaan awan ketika ini disertai dengan cuaca kering yang menyebabkan air tidak mencukupi untuk membuat pembenihan berkenaan.

"Kita mengambil langkah untuk mengorek tiga lubang yang tidak mempunyai air. Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) sudah dimaklumkan bagi bantuan lanjut.

"Saya juga sudah memaklumkan kepada MPK (Majlis Perbandaran Klang) untuk membekalkan sekurang-kurangnya 10 'water tanker' bagi memadamkan kebakaran," katanya.

Bee Yin berkata, tindakan mengorek lubang itu dilakukan supaya api tidak mudah merebak berikutan keadaan cuaca panas kini.

Berita Harian X